Pemotongan hutang Terengganu daripada bayaran WTP dikurangkan

Dr Ahmad Samsuri (kanan) bersama Ahmad (dua dari kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan hari ini. - Foto Facebook Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr Ahmad Samsuri (kanan) bersama Ahmad (dua dari kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan hari ini. - Foto Facebook Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kadar pemotongan bayaran hutang negeri Terengganu daripada bayaran Wang Tunai Petroleum (WTP) akan dikurangkan daripada 25 peratus kepada lima peratus pada tahun ini.

Perkembangan positif mengenai WTP itu dimaklumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melalui laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Beliau berkata, pengurangan potongan itu dipersetujui kerajaan Persekutuan hasil pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini.

"Pertemuan tengah hari tadi turut disertai oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang membincangkan agenda berkaitan dengan urusan kewangan kerajaan negeri dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Kerajaan Terengganu sebelum ini menyuarakan harapan supaya pemotongan 25 peratus hutang kerajaan negeri menerusi royalti minyak atau WTP dipertimbangkan semula oleh kerajaan Persekutuan.

Pemotongan itu bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan yang lebih khusus kepada keperluan rakyat negeri ini terutama ketika menghadapi kesan penularan pandemik Covid-19.

Tahun lalu, kerajaan negeri menerima RM1.277 bilion WTP dari kerajaan Persekutuan yang dibayar secara berperingkat mulai Januari hingga September.

Artikel Berkaitan: