Tekong Vietnam didenda RM100,000

A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang tekong warga Vietnam dijatuhi hukuman denda RM100,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana menangkap hasil laut dan memasuki perairan negara tanpa memaklumkan kepada pihak berkuasa, pada Ogos lalu.

Tidak cukup dengan itu, tertuduh, Le Huu Khuyen, 48, turut berdepan hukuman setahun penjara sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 15 (2) dan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama.

Selain itu, mahkamah memerintahkan kos menahan vesel sebanyak RM60,000 dibayar kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan vesel, peralatan komunikasi serta navigasi dikembalikan kepada pemiliknya.

Mahkamah juga memerintahkan peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan laut iaitu satu tan dan minyak diesel 11,000 liter dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menangkap pelbagai jenis ikan dan bahan api iaitu minyak diesel di perairan Malaysia tanpa mendapat kebenaran di bawah mana-mana perjanjian perikanan antarabangsa dan tanpa permit sah dikeluarkan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Tertuduh juga didakwa memasuki perairan Malaysia tanpa memberitahu pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksimili samada dalam Bahasa Inggeris atau Melayu tentang nama, negara bendera, lokasi, jalan dan destinasi vesel.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukannya pada jarak lebih kurang 116.2 batu nautika dari Kuala Terengganu, kira-kira jam 4.13 petang, pada 12 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maritim, Mohamad Afiq Taqiudin Roslan manakala dia diwakili peguambela Faizal Marzuki daripada Tetuan Faizal & Co.

Berdasarkan fakta kes, satu rondaan di sekitar perairan laut Terengganu dilakukan oleh KM Segantang sebelum menahan sebuah vesel nelayan asing di lokasi.

Pemeriksaan mendapati tertuduh berada di atas vesel tersebut selain mendapati kesemua kru bot tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Hasil pemeriksaan lanjut menjumpai peralatan digunakan oleh tertuduh untuk melakukan kegiatan menangkap ikan iaitu dua bidang pukat tunda, dua set tali tunda, ikan campur lebih kurang 400kg dan ikan baja lebih kurang 500kg di dalam petak ikan.

Tertuduh bersama kru seterusnya ditahan dan hasil tangkapan tersebut dirampas lalu di bawa ke Pangkalan Maritim Terengganu untuk tindakan selanjutnya.