Ribut: Bumbung rumah runtuh, atlet petanque nyaris cedera

Rumah atlet petanque kebangsaan, Siti Asiah Zaini di Bagan Tambang di sini rosak teruk selepas dilanda ribut dalam kejadian semalam.- Foto Bernama
Rumah atlet petanque kebangsaan, Siti Asiah Zaini di Bagan Tambang di sini rosak teruk selepas dilanda ribut dalam kejadian semalam.- Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Rumah atlet petanque kebangsaan, Siti Asiah Zaini di Bagan Tambang di sini rosak teruk selepas dilanda ribut malah beliau juga nyaris cedera selepas bumbung bahagian hadapan rumahnya runtuh dalam kejadian petang semalam.

Siti Asiah, 21, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, dia yang sedang menonton televisyen di ruang tamu tiba-tiba terdengar bunyi kuat selepas bumbung bahagian hadapan rumahnya jatuh berhampirannya disebabkan angin kencang.

"Waktu itu hujan dah mula lebat, saya masuk ke dalam bilik dan dalam masa sama saya dengar bunyi sangat kuat. Bumbung dalam bilik dan bahagian dapur diterbangkan ribut, air hujan memang dah penuh masuk dalam rumah.

"Masa kejadian hanya saya seorang di rumah, mak sudah tiga minggu dirawat di Hospital Seberang Jaya kerana jangkitan kuman di kaki manakala adik pula berada di kampung di Kulim, Kedah sejak emak dimasukkan ke hospital," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Siti Asiah yang juga anak yatim kemudian terus keluar dari rumah dan berlindung di rumah ibu saudaranya yang terletak bersebelahan kediamannya kerana bimbang ditimpa bumbung yang runtuh dalam kejadian ribut tersebut.

Penuntut Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah di Kulim itu bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan dan tidak dapat membayangkan jika ibu dan adiknya, Mohd Firdaus Amirul,12, berada di rumah semasa kejadian itu.

Atlet petanque kebangsaan, Siti Asiah Zaini mengambil barang yang masih boleh digunakan selepas rumahnya rosak teruk dilanda ribut petang semalam di Bagan Tambang di sini. - Foto Bernama
Atlet petanque kebangsaan, Siti Asiah Zaini mengambil barang yang masih boleh digunakan selepas rumahnya rosak teruk dilanda ribut petang semalam di Bagan Tambang di sini. - Foto Bernama

Katanya, selepas angin kuat dan ribut berhenti beliau kembali ke rumah dan mendapati semua bumbung terutama bahagian dapur serta bilik runtuh, malah banyak barangan dalam rumahnya rosak.

Artikel Berkaitan:

"Banyak barang yang rosak, barang elektrik seperti peti ais dan televisyen mungkin tak boleh digunakan lagi sebab ditimpa bumbung dan kena air hujan, selain itu perabot terutama dalam bilik juga banyak yang rosak. Saya reda dengan dugaan Ramadan kali ini," katanya.

"Anggaran kerosakan rumahnya sekitar RM50,000 dan saya harap ada pihak yang dapat bantu baiki rumah jenis kampung ini kerana saya sekeluarga tidak berkemampuan untuk menanggung perbelanjaan besar," katanya.

Beliau berkata, selain rumahnya, beberapa buah rumah termasuk kediaman sepupunya yang terletak bersebelahan turut rosak akibat ribut semalam dan mereka ketika ini menumpang di rumah ibu saudara yang terletak di kampung sama.

"Sepatutnya bulan ini saya dah mula latihan untuk Sukan SEA akan datang, tapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya cuma berlatih di rumah sahaja, dalam masa sama menghantar makanan untuk mak di hospital sebab saya tak boleh jaga mak di wad berikutan wabak Covid-19," katanya. - Bernama