Alasan beli makanan, lawat keluarga sakit

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SELAYANG - Dua daripada 12 individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memberi alasan keluar membeli makanan untuk isteri dan melawat ahli keluarga sakit dikenakan hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda RM1,000 kepada 10 tertuduh yang lain.

Mereka yang didakwa termasuk lima lelaki tempatan dan selebihnya merupakan warga Afghanistan, Indonesia, Myanmar dan Nepal.

Kesemua tertuduh berusia antara 20 hingga 44 tahun didakwa dengan sengaja berada di kawasan tempat jangkitan dan bergerak dari satu tempat lain di sekitar Selayang, Gombak dan Batu Caves pada jam 2 pagi dan 5.30 petang antara 30 Mac hingga 26 April lalu tanpa maksud yang sah.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan lain, dua individu yang merupakan warga Nepal dan Myanmar turut didakwa atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ketika berada di sekitar Gombak dan Selayang pada 17 April dan 21 April lalu antara jam 2 hingga 3 pagi.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, boleh dihukum denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan boleh juga dikenakan sebat tidak melebihi enam sebatan.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan kemudian menetapkan 11 dan 25 Jun untuk sebutan kes bagi semakan pasport terhadap dua lelaki berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar.

Tertuduh masing-masing diwakili peguam Azman Abdullah dan M Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.