Makanan membazir kurang tanpa bazar Ramadan: Zulkifli

Zulkifli (tengah) menyaksikan simbolik penyerahan 3,000 unit topeng muka, 400 botol sanitasi tangan dan 500 kotak susu kolostrum daripada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Hakimah Mohd Yusoff (kiri) kepada Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Putrajaya, Norhayati Amin (kanan) di Jakim, Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Zulkifli (tengah) menyaksikan simbolik penyerahan 3,000 unit topeng muka, 400 botol sanitasi tangan dan 500 kotak susu kolostrum daripada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Hakimah Mohd Yusoff (kiri) kepada Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Putrajaya, Norhayati Amin (kanan) di Jakim, Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketiadaan bazar Ramadan pada tahun ini berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19) dilihat mampu mengawal isu pembaziran makanan yang berlaku setiap kali bulan Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ini digalakkan lagi dengan saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya umat Islam memasak sendiri juadah berbuka puasa di rumah.

"Tiada bazar Ramadan, jadi apa yang dibeli dan dimasak nampak terkawal. Justeru, pembaziran boleh diminimumkan.

"Kalau boleh kita hendak sifar pembaziran, tetapi sekurang-kurangnya usaha ke arah itu cukup menarik dan nampak berhasil," katanya selepas menyaksikan penyerahan sumbangan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Ditanya kemungkinan penduduk di zon hijau mengambil mudah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk keluar membeli juadah berbuka puasa, Zulkifli berkata, mereka sepatutnya mengambil iktibar situasi di sesetengah negara yang menyaksikan sikap tidak ambil peduli boleh menyebabkan berlakunya gelombang kedua atau ketiga Covid-19.

"Kita masih bertarung untuk memutuskan rantaian Covid-19, kalau kita boleh teruskan, alangkah baiknya.

“Banyak lagi cara (beli juadah berbuka puasa), contohnya menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah. Itu jauh lebih baik dan kita duduk di rumah," katanya.

Menyentuh mengenai Tabung Musa'adah Covid-19 Jakim, Zulkifli berkata, setakat ini, sebanyak RM1.6 juta daripada keseluruhan RM3.7 juta kutipan tabung itu telah digunakan bagi membantu golongan memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Jakim hari ini menerima sumbangan 3,000 keping penutup hidung dan mulut, 400 botol cecair pembasmi kuman dan 500 kotak Susu Kolostrum IgCo bernilai RM111,000 daripada syarikat Success Network International (SNI) Sdn Bhd.

Jakim turut menyerahkan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Hospital Putrajaya yang merupakan sumbangan seorang usahawan Palestin di Malaysia, Abdul Faragh Abdul Shahfi. - Bernama