Keresahan peneroka Felda bakal terjawab

Guan Eng, Fuziah dan Manogaran selepas perasmian slogan PH dalam PRK Cameron Highlands, hari ini.
Guan Eng, Fuziah dan Manogaran selepas perasmian slogan PH dalam PRK Cameron Highlands, hari ini.
A
A
A

LIPIS - Keresahan peneroka Felda di negara ini berikutan masih belum mendapat bayaran tunggakan mereka akan terjawab dalam masa terdekat.

Perkara itu akan diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali yang akan menjelaskan punca sebenar kelewatan tersebut.

Beliau dijangka menerangkan perkara terbabit ketika turun padang membantu kempen calon PH, M.Manogaran dalam PRK Cameron Highlands di Sungai Koyan, hujung minggu ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, peruntukan RM77 juta sudah diluluskan kerajaan Pusat pada 20 Disember lalu dan sepatutnya isu kelewatan pengagihan bayaran tidak berlaku.

"Duit sudah ada dan kita pun nak tahu kenapa masih belum boleh agihkan kepada peneroka... jadi, kita tunggu (Datuk Seri) Mohammed Azmin datang dalam minggu ini untuk jelaskan perkara dan penyelesaian kepada masalah ini.

"Kita harap perkara ini tidak akan menjejaskan peluang PH untuk memenangi hati pengundi di kawasan Sungai Koyan yang kebanyakannya adalah peneroka," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan slogan PH,"Pembangunan Bersama Harapan " bagi PRK Cameron Highlands di Bilik Gerakan PH Sungai Koyan, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pahang, Fuziah Salleh dan calon PH,Manogaran sendiri.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Kementerian Kewangan pada 20 Disember lalu mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM77 juta bagi membantu peneroka Felda melunaskan bayaran tertunggak pada tahun semasa bagi mengatasi masalah aliran tunai Felda yang sangat kritikal ketika ini.

Peruntukan itu adalah bagi membantu peneroka Felda melunaskan bayaran tertunggak seperti bayaran khairat kematian berjumlah RM1.2 juta membabitkan waris kepada 120 peneroka yang sudah meninggal dunia.

Turut menerima bayaran tunggakan terbabit ialah Felda Technoplant Sdn Bhd bagi kerja operasi pembangunan ladang peneroka sebanyak RM43 juta dan bayaran sara hidup serta pendahuluan hasil tanam semula berjumlah RM32.8 juta kepada 38,000 peneroka Felda.