X

Kindly register in order to view this article
!

Peka gesa JPN siasat kes jual MyKad kepada warga asing

JPN digesa menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan tiada kes berhubung pengeluaran sijil kelahiran dan kas pengenalan palsu kepada warga asing. (Gambar kecil: Zuhairi Ab Kadir)
A
A

KUANTAN - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) digesa menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan tiada kes berhubung pengeluaran sijil kelahiran dan kas pengenalan palsu kepada warga asing yang dilihat semakin berleluasa.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab Kadir berkata, gesaan itu dibuat berikutan terdapat banyak pihak dan individu yang didakwa terlibat dalam kegiatan penjualan MyKad.

Justeru katanya, JPN perlu membongkar kegiatan pihak yang terlibat yang dipercayai cuba mencari keuntungan daripada warga asing dengan menjalankan siasatan secara menyeluruh.

“JPN perlu mencungkil satu persatu maklumat mengenai penjualan MyKad kepada warga asing yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Perkara sebegini tidak boleh dibiarkan sewenang-wenangnya dilakukan oleh sesiapa lebih-lebih lagi pegawai dalam jabatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zuhairi berkata, tindakan segera perlu dilakukan bagi meneliti rekod yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan pihaknya dan perlu dibatalkan segera.

Jelasnya, selain itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin perlu mengarahkan penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat perkara itu.

"Saya pasti banyak kemusykilan yang timbul berhubung perkara itu dan ia perlu dihapuskan serta-merta dengan melakukan siasatan secara menyeluruh,” katanya.

Pada 19 Ogos tahun lalu, seramai 20 individu termasuk pegawai dan kakitangan JPN Pulau Pinang ditahan polis bagi membantu siasatan kes penjualan MyKad kepada warga asing secara tidak sah.

Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan menyifatkan penjualan dokumen MyKad dan sijil kelahiran kepada warga asing itu sebagai pengkhianatan besar terhadap negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Jual MyKad: KDN arah Ketua Pengarah JPN beri kerjasama penuh

6 termasuk pegawai JPN Pulau Pinang didakwa jual MyKad


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!