Kedudukan kewangan E22 stabil

Dari kiri, Aziz dan Jamal berbual dengan antara mereka yang hadir Seminar Vendor E22 di Hotel Holiday Villa.
Dari kiri, Aziz dan Jamal berbual dengan antara mereka yang hadir Seminar Vendor E22 di Hotel Holiday Villa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Senai Desaru Expressway Berhad (E22) mengesahkan kedudukan kewangan syarikat konsesi itu masih lagi stabil.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jamal Abd Nasir Taharim berkata, ini kerana, pihaknya masih lagi mampu membayar tanggungjawab kewangan.

"Tentang berkaitan kerajaan saya tidak boleh komen. Tetapi, buat masa ini kedudukan kewangan kami masih lagi stabil.

"Kita mampu untuk bayar segala tanggungjawab segala kewangan termasuk menampung perbelanjaan operasi dan penyelenggaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang desas-desus E22 sudah tidak mampu bertahan dalam menanggung beban hutang yang melebihi pendapatan dan dicadangkan pengurusannya bakal diambil oleh kerajaan.

Terdahulu, beliau hadir Seminar Vendor E22 di Hotel Holiday Villa, di sini, hari ini.

Seminar itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Sr Aziz Abdullah.

Jamal berkata, sasaran pendapatan mereka pada tahun ini berjumlah RM90 juta.

Artikel Berkaitan:

"Tahun ini, kita sasar terima pendapatan sebanyak RM90 juta. Manakala, pada tahun lalu pendapatan yang diterima RM79 juta," katanya.

Dalam pada itu, ditanya tentang adakah projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang meningkatkan pertumbuhan trafik di E22, beliau menjawab sememangnya membantu.

"Sememangnya projek Rapid begitu membantu pertumbuhan trafik di E22 dari 2015 hingga 2018.

"Namun, di penghujung 2018 dan diawal tahun ini kita sudah nampak pengurangan sedikit, mungkin disebabkan projek di sana telah stabil dan tidak terlalu banyak aktiviti dijalankan," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut berharap kepelbagaian projek ekopelancongan di Kota Tinggi turut meningkatkan pertumbuhan trafik di E22 di masa akan datang.