Usahawan OKU digalak dapatkan sijil kemahiran

Mahfuz menyerahkan van kepada Noorazizah bagi geran SBGPOKU sempena Karnival Pekerjaan, Kemahiran dan Keusahawanan Insan Istimewa di Kampung Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, hari ini.
Mahfuz menyerahkan van kepada Noorazizah bagi geran SBGPOKU sempena Karnival Pekerjaan, Kemahiran dan Keusahawanan Insan Istimewa di Kampung Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, hari ini.
A
A
A

BATU GAJAH - Kementerian Sumber Manusia menggalakkan usahawan kalangan kurang upaya (OKU) mengikuti program-program latihan kemahiran yang disediakan kerajaan dan swasta bagi mendapatkan persijilan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pada ketika ini terdapat kalangan usahawan OKU yang tiada sijil, namun memiliki kemahiran tersendiri dalam bidang yang diusahakan.

Menurutnya, latihan-latihan kemahiran itu perlu bagi memastikan perniagaan diceburi terus stabil dan maju untuk tempoh jangka masa panjang.

"Kerajaan melalui pelbagai jabatan mewujudkan pelbagai pusat kemahiran, sekiranya mereka berdepan halangan tertentu mengikuti latihan secara formal, terdapat juga program persijilan alternatif lain seperti program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) serta Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) naungan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

"Saya mohon JPK melakukan sesuatu bagi membantu mereka memperoleh sijil kemahiran yang diiktiraf," katanya sempena Karnival Pekerjaan, Kemahiran dan Keusahawanan Insan Istimewa di Kampung Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, hari ini.

Beliau turut menggesa kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak-pihak pembangunan usahawan dan institusi latihan membantu kerajaan dalam memberikan bimbingan kemahiran kepada usahawan OKU.

"Kita menyediakan modal dan geran pembiayaan kepada mereka, namun dari segi bimbingan, kita harap ada pihak-pihak seperti Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) beri kerjasama lihat bagaimana kita dapat membangunkan mereka ini," katanya.

Dalam majlis itu, Mahfuz turut menyampaikan geran bantuan perniagaan kepada 11 penerima dengan jumlah keseluruhan lebih RM300,000 dibawah Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGPOKU) dan Program Pembangunan Usahawan Mikro Bumiputera (MCash).

Artikel Berkaitan:

Tahun lalu, seramai 60 OKU tersenarai sebagai penerima SBGPOKU yang menyediakan geran perniagaan berjumlah RM2 juta setiap tahun, enam daripada mereka merupakan usahawan dari Perak.

Seorang penerima, Noorazizah Muhammad Zamri, 23, menyatakan rasa syukur apabila menerima bantuan van berjumlah RM74,326 bagi membantu perniagaan yang diusahakan bersama keluarga sejak 2014.

Katanya, produk berasaskan wangian dan refleksologi yang diusahakan mereka kini menerima pasaran di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Ada van ni, senanglah kami nak bawa dan jual barang-barang niaga ke luar Perak," katanya yang mempunyai masalah pembelajaran.

Perniagaan dibawah Syarikat Arif Kasturi Enterprise di Kamunting, Taiping itu juga mempunyai tujuh pekerja kalangan OKU.

Bapanya, Muhammad Zamri Abdullah, 50, berkata, Noorazizah tidak pernah mengikuti mana-mana latihan perniagaan, namun memperolehi kemahiran hasil tunjuk ajar ahli keluarga lain.