Umat Islam di Pulau Pinang boleh solat Aidilfitri di rumah

Solat sunat Aidilfitri boleh dilakukan tanpa atau dengan khutbah mengikut kemampuan dan kesesuaian ahli keluarga. - Gambar hiasan
Solat sunat Aidilfitri boleh dilakukan tanpa atau dengan khutbah mengikut kemampuan dan kesesuaian ahli keluarga. - Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Umat Islam di Pulau Pinang boleh menunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, solat sunat Aidilfitri itu boleh dilakukan tanpa atau dengan khutbah mengikut kemampuan dan kesesuaian ahli keluarga.

“Ia adalah keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri yang ditetapkan semalam mengenai garis panduan sambutan Hari Raya dan solat berjemaah itu boleh dilakukan, tetapi hanya membabitkan ahli keluarga di rumah saja.

"Bagi ahli keluarga yang baru sembuh daripada Covid-19 atau perlu kuarantin di rumah, mereka tidak dibenarkan menyertai solat sunat berjemaah itu namun boleh menunaikannya secara bersendirian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Fatwa negeri berkata, bagi imam, bilal dan siak boleh melaksanakan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau tertakluk kepada pekeliling dan arahan ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).

Wan Salim berkata, takbir Hari Raya di masjid dan surau hanya boleh dilaksanakan oleh imam, bilal dan siak dengan menggunakan rakaman.

"Takbir pada malam raya dari rumah ke rumah yang menjadi kebiasaan sebelum ini adalah tidak dibenarkan kerana mahu mengekang penularan wabak Covid-19.

"Kami menggalakkan setiap keluarga melaungkan takbir hari raya di rumah masing-masing sehingga sebelum solat sunat hari raya dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi pesakit dan petugas di hospital pula katanya mereka dibenar melaksanakan solat sunat Aidilfitri mengikut arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - Bernama