X

Kindly register in order to view this article
!

Normal baharu perlu dibiasakan

A
A

Malaysia memasuki fasa empat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 29 April sehingga 12 Mei. Bermakna kita perlu terus berada di rumah dan mengamalkan jarak sosial serta mengamalkan kebersihan badan.

Ketika ini kita berhadapan dengan new normal atau kebiasaan baharu akibat wabak Covid-19. Kita masih lagi tidak boleh melakukan perkara normal seperti biasa dan dilarang untuk bersiar-siar atau membeli-belah. Apa yang kita lalui sekarang perlu menjadi kelaziman dan amalan buat masa kini dan akan datang.

Sebenarnya seluruh dunia mengharapkan agar kita hidup kembali normal seperti sebelumnya. Apa yang dimaksudkan dengan normal ialah keadaan yang wujud sebelum PKP.

Namun salah satu ubat dan pencegahan yang mujarab buat masa ini adalah hanya duduk di rumah untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Berdasarkan kenyataan pakar menjangkakan kehidupan ‘tidak normal’ akan berterusan untuk jangka panjang, mungkin sehingga keseluruhan tahun 2020. Disebabkan setakat ini belum ditemui penawar wabak Covid-19 itu.

Kalau sebelum ini kita tidak terfikir untuk menempah bahan mentah. Sekarang ikan kembong pun dibeli secara atas talian. Ini tidak termasuk tugas hakiki yang selalunya dibuat di pejabat tetapi dilakukan di rumah menggunakan perantara internet.

Beberapa peperiksaan penting ditiadakan, malah jadual peperiksaan sekolah menengah seperti SPM dan STPM ditangguhkan sehingga tahun depan. Semuanya normal baharu yang hadir akibat wabak Covid-19.

Hakikatnya, perkembangan ekonomi di Malaysia turut terjejas. Penjual dan peraih tiada pendapatan dalam tempoh PKP. Lebih-lebih lagi mereka yang dalam golongan B40 yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mereka yang bekerja swasta lebih lagi terasa. Beberapa syarikat kecil dan sederhana masa kini tidak lagi mampu bertahan kerana tiada operasi dan jualan. Walaupun diwujudkan pakej rangsangan ekonomi, namun ia mungkin tidak boleh bertahan.

Industri pelancongan, pengangkutan dan peruncitan akan berubah. Malah produk pengguna kini ke arah pendigitalan dan online. Dijangkakan pula ramai yang akan hilang pekerjaan buat masa kini dan pada pasca-Covid-19.

Kadar penurunan kes positif di Malaysia sejak akhir-akhir ini menunjukkan data berada dua digit atau bawah 100 kes. Namun hakikatnya kita masih lagi perlu berkurung di rumah kerana jika amalan biasa yang kita lakukan sebelum PKP, ditakuti jumlah kes positif akan kembali meningkat.

Kita juga perlu berterima kasih dengan petugas barisan hadapan yang cukup komited dalam memastikan penyakit ini dapat dibendung. Sebenarnya pihak berkuasa telah memberi amaran secara ‘lembut’ agar kebiasaan baharu ini dijadikan amalan.

Pihak pemerintah tidak menggunakan pendekatan mengisytiharkan ‘darurat’ untuk mengelakkan kegemparan dan panik awam. Contohnya sebelum PKP dilaksanakan, masyarakat telah membuat pembelian panik. Pendekatan yang dibuat oleh pemerintah sekarang nampaknya telah menunjukkan hasil yang positif.

Kita perlu memberi penghargaan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama urus setianya yang sentiasa melakukan strategik dan pemantauan terbaik bagi memastikan Covid-19 tidak terus menular. Kita juga perlu mengambil iktibar daripada pengalaman negara seperti China yang telah berjaya memulihkan wabak Covid-19.

Kita mengharapkan agar jumlah kes positif dan kematian semakin berkurangan dan sifar agar kita dapat menamatkan ‘perintah berkurung’. Kita sebenarnya mendambakan kehidupan normal seperti biasa, bekerja, dapat berjemaah di masjid dan dapat bersiar-siar. Ini adalah realiti yang perlu kita tempuhi dalam masa mendatang.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus