X

Kindly register in order to view this article
!

Kami sokong Ustaz Ebit Lew

A
A

Apabila tular isu Ustaz Ebit Lew menziarahi sebuah rumah usang di Alor Setar, Kedah, pelbagai pihak mula mengeluarkan pendapat masing-masing. Sebelum mengulas lebih lanjut lagi isu itu, mari kita lihat faktanya terlebih dahulu. Sebenarnya, kisah keluarga Ishak telah tular pada tahun 2013 dan kini kembali tular.

Kebajikan mereka memang dijaga; bantuan telah disalurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Masjid Al-Irfan Derga juga Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga sejak tahun 2007 lagi.

Pada 2018, kerajaan negeri Kedah menawarkan dua buah rumah di Flat Seri Gemilang, Mergong kepada keluarga berkenaan, namun keluarga itu enggan berpindah. Malah, LZNK juga telah menawarkan rumah asnaf kepada mereka sejak 12 tahun yang lepas tetapi ditolak atas alasan tertentu.

Tapak rumah yang mereka diami sekarang adalah milik orang lain dan itu menyukarkan LZNK untuk membina rumah di atas tapak sedia ada. Saya telah melawat pejabat LZNK di Alor Setar pada awal tahun ini dan melihat sendiri gerak kerja mereka. Memang LZNK sangat mesra asnaf dan cukup peka dengan kebajikan asnaf di Kedah.

Jadi, apa masalah sebenarnya? Masalah timbul apabila cerita itu kembali tular dan masyarakat luar dengan sewenang-wenangnya membuat tohmahan bahawa keluarga itu diabaikan oleh pihak berwajib. YB tidak buat kerja. Pegawai JKM makan gaji buta. Mana pergi duit zakat yang dikutip LZNK? AJK kariah masjid tidak ambil cakna ke? Apa jiran-jiran buat, sudah butakah?

Masalah kedua timbul apabila ada pihak yang mengecam Ustaz Ebit Lew pula. Ada yang bertaraf ‘Ustaz’ turut sama mengecam. Kononnya Ebit Lew tidak mematuhi penjarakkan sosial ketika menyampaikan bantuan dan tindakan memuat naik gambar serta video orang miskin di media sosial adalah haram kerana mengaibkan mereka.

Walau apapun, syabas kepada Ustaz Ebit Lew kerana berjaya memujuk keluarga terbabit pindah ke rumah sewa yang lebih selesa, lengkap dengan air dan elektrik serta sewa bulanan ditanggung sepenuhnya oleh Ebit Lew. Itulah keistimewaan yang ALLAH kurniakan kepada beliau; tutur katanya yang lemah lembut mampu memujuk keluarga tersebut pindah, sesuatu yang pihak lain gagal buat sejak 12 tahun yang lepas.

Walaupun dikecam oleh pelbagai pihak, Ustaz Ebit Lew tidak melatah seperti sesetengah individu. Beliau yang terkenal dengan sifat lemah lembut itu terus memohon maaf kepada pihak yang kurang senang dengan kerja amalnya. Beliau tidak sedikit pun membalas kecaman terhadapnya. Begitulah akhlak seorang pendakwah yang mulia.

Sehingga kini, tidak pernah lagi saya dengar Ustaz Ebit Lew mengecam mana-mana pihak atau memperkecilkan usaha sesiapa. Sifat Ebit Lew yang mulia itulah menyebabkan beliau mendapat sokongan bukan sahaja daripada orang Islam, malah ramai orang bukan Islam turut kagum dan menyokong kerja-kerja amalnya.

Jika dibandingkan dengan pendakwah-pendakwah lain, Ustaz Ebit Lew mempunyai auranya yang tersendiri. Beliau bukan sahaja berdakwah kepada masyarakat secara umum tetapi turun padang bersemuka dengan golongan gelandangan, pondan atau mak nyah dan transgender, juga geng samseng atau gengster. Saya rasa belum ada lagi pendakwah atau pakar motivasi lain yang buat apa yang dilakukan oleh Ustaz Ebit Lew ini.

Saya berharap Ustaz Ebit Lew kekal tabah dalam meneruskan kerja-kerja dakwah dan kebajikannya. Usah dihirau mereka yang mengkritik dan mengecam kerana mereka yang menyokong jauh lebih ramai.

Jika dibandingkan dengan pendakwah-pendakwah lain, Ustaz Ebit Lew mempunyai auranya yang tersendiri."


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus