Mencanai kelaziman baharu

A
A
A

Peribahasa Melayu menyatakan ‘sekali air bah, sekali pasir berubah; sekali air gedang, sekali tepian beranjak’. Itulah juga yang bakal kita hadapi pasca-Covid-19 nanti iaitu perubahan kepada landskap kelaziman aktiviti harian seluruh manusia. Kesihatan awam, kelestarian alam, pemulihan ekonomi dan keusahawanan melalui platform digital adalah antara aspek terpenting yang sedang dan bakal berubah.

Walaupun ramai memperkatakan strategi penjarakkan sosial sebagai tumpuan utama pasca-Covid-19, isu ekonomi dan sosial rakyat dan kebangkitan semula sektor perniagaan perlu difikirkan bersama. Penjarakkan sosial sebagai langkah awal dalam fasa pemulihan kesihatan memberi impak domino kepada pemulihan ekonomi. Satu meter sebagai jarak sosial itu mampu mencetuskan krisis ekonomi dan kemanusiaan jika tidak kena gayanya.

Covid-19 dianggarkan mengakibatkan kehilangan pekerjaan kepada 2.4 juta pekerja di Malaysia oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER). Bagi mengurangkan impak ekonomi kepada rakyat, kerajaan Malaysia telah mengumumkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan.

Pun begitu, kita tidak harus terus-terusan menagih bantuan, sebaliknya berusaha menangani impak tersebut di peringkat individu. Jadi, perubahan dalam diri individu amat penting bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi. Amalan menambah baik hubungan sosial seperti pemberian bantuan kepada golongan B40, miskin bandar dan pekerja yang menerima gaji harian juga perlu diteruskan.

Semua ini penting bagi memastikan penurunan kos sara hidup, peningkatan semula kuasa beli pengguna dan tabungan. Di peringkat pengusaha, pelan pemulihan sektor keusahawanan dan majikan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) sangat diperlukan.

Sudah tiba masanya untuk pengusaha PKS mengambil serius akan komponen Industri 4.0 seperti penggunaan aspek automasi, analitik data raya dan integrasi sistem dalam operasi mereka.

Kelaziman baharu dalam sektor kesihatan awam tidak harus dikesampingkan. Jika rakyat disaran lebih cakna akan penjagaan kebersihan dan kesihatan diri, kapasiti rawatan dan perubatan oleh pihak berwajib pula perlu ditambah baik. Selain itu, fungsi keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam organisasi mesti diperkasa.

Perubahan

Pasca-Covid-19 juga membawa kelaziman baharu dalam pendigitalan perniagaan dan perkhidmatan secara lebih meluas. Platform digital perlu ditambah baik dan tersedia lebih awal supaya urusan kehidupan seperti proses pembelajaran dan pengajaran di institusi pendidikan, urusan kerja dalam organisasi, serta jualan makanan dan barangan keperluan tidak tergendala.

Artikel Berkaitan:

Penglibatan inklusif setiap lapisan masyarakat dan pemimpin amat diperlukan dalam menjadikan kelaziman baharu sebagai satu cara hidup pasca-Covid-19. Saluran komunikasi yang lebih organik dan terbuka menjadi kemestian agar semua memahami keperluan untuk berubah dan kelaziman baharu.

Komunikasi dan penglibatan berterusan akan mencetuskan kejujuran yang membentuk penerimaan terhadap kelaziman baharu. Selain itu, masyarakat perlu memiliki daya intelektual dan keterbukaan fikiran yang munasabah bagi membantu mereka menerima perubahan baharu ini. Hasrat itu boleh dicapai melalui proses pembangunan modal insan secara berterusan melalui latihan, pendidikan dan pengembangan individu.

Berdepan dengan pandemik seperti Covid-19 memerlukan semua pihak mengambil langkah pemulihan secara konkrit dan komprehensif dalam pelbagai spektrum kehidupan. Sebagai individu, kita tidak boleh meletakkan semua perkara ke atas bahu pemimpin dan pengurus. Bahkan, kita perlu meninggalkan kelaziman semasa bagi berdepan dengan realiti baharu yang lebih mencabar.

Mungkin ia dirasakan sukar sekarang, tetapi ingatlah tiada kejayaan yang dapat dicapai tanpa usaha dan cabaran. Benarlah ungkapan peribahasa yang menyatakan ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’. ‘Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang’.

* Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia