Liga M: Ambil positif keputusan kerajaan

Mohd Azraai Khor Abdullah
Mohd Azraai Khor Abdullah
A
A
A

SEMUA pihak perlu mengambil positif keputusan kerajaan yang tidak membenarkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini disambung semula akibat pandemik Covid-19.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, keputusan tersebut dibuat demi keselamatan semua pihak terutamanya para pemain dan pegawai pasukan.

“Itu adalah keputusan pihak kerajaan dan kita perlu menerimanya untuk keselamatan semua orang. Kerajaan bukan saja-saja membuat keputusan sebegitu.

“Bola sepak (Liga-M) ini boleh dimulakan semula musim depan, jadi tidak perlu risau. Apa yang penting semua pihak perlu akur dan ambil positif arahan pihak kerajaan,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Terdahulu, kerajaan memutuskan sebarang perhimpunan beramai-ramai termasuk aksi bola sepak tidak boleh diadakan walaupun selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Azraai berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu memikirkan cara bagi membantu pasukan terutamanya berkaitan gaji dan kontrak pemain sekiranya Liga-M dibatalkan.

“Sudah tentulah akan ada yang terjejas jika liga dibatalkan. Dalam hal ini, FAM kena cari mekanisme membantu pasukan terlibat. Pemain dan pasukan juga perlu sama-sama berlapang dada berunding dalam soal gaji dan kontrak agar tidak timbul masalah,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memberikan cadangan supaya FAM mendapatkan pandangan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Artikel Berkaitan:

“Mungkin AFC mempunyai cara tertentu dalam hal ini dan boleh memberikan pandangan kepada FAM kerana perkara ini tidak pernah berlaku.

“FAM juga boleh bertanyakan kaedah ataupun pendapat dengan liga yang telah dibatalkan seperti Liga Belanda dan Liga Belgium. Mereka sudah tentu mempunyai mekanisme yang telah dirangka dulu sebelum membatalkan liga,” kata bekas pengendali Kedah itu.