Pelajar IPT boleh pulang berperingkat ke kampung mulai 27 April

Dr Noraini Ahmad
Dr Noraini Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Para pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti akan dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing secara berperingkat mulai 27 April ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, bagaimanapun pergerakan pulang ke kampung tersebut hanya melibatkan pelajar yang berada dalam zon hijau sahaja untuk pulang ke rumah masing-masing yang juga terletak dalam zon sama.

Beliau berkata, bagi pelajar yang rumah masing-masing terletak di zon merah dan kuning, mereka tidak dibenarkan pulang.

Menurutnya, persiapan rapi sedang dilakukan pihaknya bagi menghantar para pelajar dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa pelajar dari pusat pelepasan di IPT yang dikenal pasti untuk pulang ke destinasi masing-masing.

"Aspek keselamatan dan kesihatan pelajar menjadi keutamaan ketika pergerakan pelajar berlangsung," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, setiap perkhidmatan pengangkutan akan diiringi oleh seorang pegawai perhubungan yang akan mempunyai senarai lengkap pelajar.

Selain itu Noraini berkata, saringan gejala (suhu badan, sakit tekak, batuk, selesema dan sesak nafas) akan dijalankan oleh KKM dan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum pergerakan pelajar.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, para pelajar diingatkan untuk sentiasa menjaga penjarakkan sosial, memakai topeng muka di sepanjang perjalanan dan mengamalkan kebersihan dengan memakai cecair pembasmi kuman.

"KPT menyediakan garis panduan sebagai rujukan kepada agensi berkaitan, pelajar dan ibu bapa dalam proses pergerakan pelajar IPT ini.

"Bilik Gerakan KPT akan beroperasi selama 24 jam bagi membantu para pelajar dan ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini. Sebarang pertanyaan sila hubungi talian hotline, 03-8870 6777/6949/6628/6623/6124," katanya.