Padah ceroboh kawasan sekolah

Dua remaja lelaki ditahan.
A
A

ALOR SETAR - Dua remaja berusia 19 tahun ditahan kerana menceroboh sebuah kawasan sekolah di Kulim, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Naser Jaafar berkata, dua remaja berusia 18 tahun itu didapati menceroboh kawasan sekolah itu kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Menurutnya, kejadian disedari pengawal keselamatan di sekolah terbabit apabila mendapati lampu di dua blok menyala ketika melakukan rondaan.

"Pengawal keselamatan terbabit mendapati dua lampu yang dalam keadaan tertutup sebelum ini di blok C dan D dalam keadaan terbuka, dan kipas di blok F turut terpasang.

"Berikutan curiga dengan keadaan terbabit, pengawal keselamatan itu melakukan pemeriksaan di kawasan tersebut sebelum menemui dua remaja dipercayai bekas pelajar sekolah itu," katanya.

Kata Ahmad Naser, dua remaja lelaki terbabit ditemui dalam tandas perempuan di blok F yang telah dipecah masuk mereka di kawasan sekolah itu.

"Jadi, dia terus menahan kedua remaja itu sebelum penyelia pengawal keselamatan menghubungi pihak polis selepas, bagaimanapun tiada barang yang hilang dalam pemeriksaan dijalankan," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 448/511 Kanun Keseksaan dan kedua orang yang disyaki (OYDS) itu kemudiannya mengaku terlibat dalam kejadian terbabit.