Tiada bukti pesakit pulih Covid-19 bebas jangkitan kedua

Antibodi dalam badan pesakit yang pulih daripada koronavirus (Covid-19) tidak akan melindungi pesakit terbabit daripada risiko jangkitan kali kedua.- Foto 123RF
Antibodi dalam badan pesakit yang pulih daripada koronavirus (Covid-19) tidak akan melindungi pesakit terbabit daripada risiko jangkitan kali kedua.- Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Antibodi dalam badan pesakit yang pulih daripada koronavirus (Covid-19) tidak akan melindungi pesakit terbabit daripada risiko jangkitan kali kedua.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antibodi aImmunoglobulin M (IgM) diikuti Immunoglobulin G (IgG) akan terhasil dalam badan selepas lima hingga enam hari dijangkiti virus berkenaan.

Namun menurutnya, tiada bukti menunjukkan kedua-dua antibodi itu dapat melindungi pesakit yang disahkan pulih sebelum ini.

"Jadi isunya, jangkitan semula itu besar kemungkinan boleh dijangkiti.

"Maksudnya walaupun mereka telah dijangkiti contohnya seramai 5,780 orang dan mereka yang telah discaj seramai 3,862 orang itu ada antibodi tapi antibodi tersebut tidak cukup untuk melindungi mereka daripada jangkitan kedua.

"Oleh itu semua pesakit sebelum kita benarkan mereka pulang, kita perlu memberi kaunseling kepada mereka untuk melindungi mereka daripada dijangkiti semula," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat kini tiada kes jangkitan semula direkodkan di negara ini maka pesakit yang disahkan pulih perlu mengambil langkah pencegahan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini memberi amaran bahawa tiada bukti mereka yang pulih dari Covid-19 kebal dan terlindung daripada jangkitan semula.

Artikel Berkaitan:

Amaran berkenaan dikeluarkan ketika beberapa negara mempertimbangkan untuk mengeluarkan dokumen seperti ‘pasport imuniti’ kepada mereka yang pulih dari Covid-19 untuk membuka semula aktiviti ekonomi.

WHO mengingatkan, keberkesanan imunisasi daripada antibodi masih belum dapat dibuktikan dan data saintifik yang ada tidak membenarkan pemberian ‘pasport imuniti’ atau ‘sijil ketiadaan risiko’.