Covid-19 kembali merebak jika langgar PKP di zon hijau

Tiga daerah di Selangor masih dikategorikan sebagai zon merah dan enam lagi zon kuning berikutan merekodkan kes aktif kurang daripada 40 kes.
Tiga daerah di Selangor masih dikategorikan sebagai zon merah dan enam lagi zon kuning berikutan merekodkan kes aktif kurang daripada 40 kes.
A
A
A

SHAH ALAM - Sikap sebahagian orang ramai yang mengambil mudah mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di zon hijau boleh menyebabkan wabak koronavirus (Covid-19) kembali merebak.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi satu kenyataan memaklumkan sikap berkenaan juga boleh membahayakan semula keadaan sekarang yang semakin baik.

“Media melaporkan ada sebahagian orang di zon hijau yang mengambil mudah PKP atas keyakinan bahawa situasi telah selamat di kawasan mereka.

“Sikap sebegini sebenarnya boleh membahayakan semula keadaan sekarang yang semakin baik,” menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Kenyataan itu memaklumkan, kerisauan terbesar adalah pesakit tidak bersimptom (asymptomatic) yang akan menyebar luas jangkitan wabak terbabit tanpa disedari.

“Jadi tolong patuh PKP dan jaga kebersihan diri, perkara ini adalah untuk kesenangan kita semua juga pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, STFC dalam kenyataan sama memaklumkan tiada perubahan ketara bagi jumlah zon merah dan zon kuning di Selangor sehingga jam 12 tengah hari semalam berbanding kelmarin.

Kenyataan itu memaklumkan situasi masih terkawal dan terjaga namun terdapat satu kes kematian dilaporkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan 15 kematian di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, Selangor mencatat 1,388 kes terkumpul dengan 1,108 pesakit dilapor telah sembuh.

Sebanyak satu kes baharu direkodkan sehingga jam 12 tengah hari semalam dan 252 kes dilaporkan masih aktif.

Berdasarkan info grafik dimuat naik, tiga daerah di Selangor masih ditakrif sebagai zon merah kes aktif Covid-19 termasuk Hulu Langat (100 kes); Petaling (63 kes) dan Klang yang merekod 44 kes.

Enam daerah termasuk Gombak yang mencatat 17 kes aktif; Kuala Langat (tujuh kes); Sepang (tujuh kes); Kuala Selangor (enam kes); Hulu Selangor (lima kes) dan Sabak Bernam yang merekod tiga kes aktif ditakrif sebagai zon kuning.