Zon merah: KPT perhalusi kaedah terbaik benarkan pelajar pulang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang berbincang dan memperhalusi kaedah terbaik bagi membenarkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di zon hijau pulang ke zon merah dan zon merah ke zon hijau.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini kerajaan hanya membenarkan pergerakan pulang penuntut IPT dari zon hijau ke zon hijau yang akan bermula malam esok.

“Untuk malam esok, pelajar IPT di zon tengah atau zon satu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan beberapa pelajar di universiti lain di zon tengah akan pulang.

“Namun begitu terdapat cadangan berkaitan senario di mana pelajar di zon hijau akan pulang ke zon merah. Saya beri contoh jika pelajar itu mahu pulang ke Simpang Renggam, Johor di mana ia merupakan zon merah dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.

“Tentu sahaja mereka tidak boleh pulang tetapi mereka boleh tinggal di rumah keluarga terdekat seperti abang dan kakak di zon hijau. Apabila kediaman ibu bapa di zon merah bertukar menjadi hijau baharulah pelajar ini boleh pulang. Itu antara perkara dibincangkan KPT,” katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi pelajar yang berada di luar kampus, mereka secara automatik dikategorikan berada di zon mereka.

“Saya ambil contoh pelajar di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tinggal di Kampung Baru. Semua tahu kawasan itu merupakan zon merah tetapi mahu pulang ke zon hijau. Perkara ini antara perkara yang turut diperhalusi oleh KPT.

“Mungkin mereka ini perlu melalui saringan dan test koronavirus (Covid-19) bagi memastikan benar-benar negatif baharulah dibenarkan pulang. Perkara ini sedang dibincangkan oleh KPT dengan pihak universiti,” katanya.

Artikel Berkaitan: