Pulau Pinang cadang warta seluruh negeri bebas asap rokok

Dr Afif (dua,kanan) melekatkan poster 'Rokok Tidak Dijual Disini' di kaunter bayaran Restoran Nasi Kandar Pelita.
Dr Afif (dua,kanan) melekatkan poster 'Rokok Tidak Dijual Disini' di kaunter bayaran Restoran Nasi Kandar Pelita.
A
A
A

PERAI - Kerajaan Pulau Pinang melalui program Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (Penbar) mengkaji untuk mewartakan seluruh negeri sebagai kawasan larangan merokok.

Exco Kesihatan, Dr Afif Bahardin berkata, langkah itu antara inisiatif kerajaan negeri dalam melindungi komunuiti Pulau Pinang daripada bahaya asap rokok.

Menurutnya, setakat ini enam kawasan taman rekreasi di negeri ini telah diwartakan sebagai taman bebas asap rokok pada 1 Oktober 2012 diikuti dengan larangan merokok di semua bangunan dan kawasan awam do Tapak Warisan Dunia Georgetown pada 4 Julai 2015.

Selain itu, kawasan masjid dan rumah ibadat lain juga telah diwartakan sebagai zon larangan merokok.

"Saya telah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk kaji sama ada ia (mewarta larangan merokok di seluruh negeri) boleh dilaksanakan dan melihat apakah implikasinya.

"Saya mengharapkan perancangan ini akan dapat diwartakan dalam tempoh lima tahun dan kita akan menggiatkan lagi perlaksanaan program kesedaran kepada orang ramai tentang larangan merokok di kawasan awam dan taman rekreasi," katanya pada sidang media yang diadakan di Restoran Nasi Kandar Pelita di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Afif mengumumkan kesemua rangkaian Restoran Nasi Kandar Pelita di seluruh negara sudah menghentikan penjualan rokok di premis mereka berkuatkuasa semalam.

Sementara itu mengulas lanjut mengenai hasrat kerajaan negeri untuk mewartakan Pulau Pinang sebagai kawasan bebas asap rokok, Dr Afif berkata, apa yang lebih penting pada masa ini adalah untuk mendidik masyarakat supaya menghormati orang lain yang tidak merokok kerana ia memberi kesan yang pasif sekiranya mereka terdedah dengan asap rokok.

Artikel Berkaitan:

Katanya, cadangan untuk mewartakan Pulau Pinang sebagai bebas asap rokok bukan bertujuan mahu menyekat sesiapa untuk merokok tetapi apa yang ingin dilakukan adalah untuk meningkatkan sikap toleransi masyarakat dengan asap rokok ini.

"Cuma ketika ini ada beberapa kekangan untuk ia dilaksanakan di seluruh negeri dan kita juga perlu mengambil kira beberapa foktor antaranya menyediakan kawasan khas untuk perokok.

"Kita akan terus melakukan perbincangan dengan pelbagai pihak bagaimana untuk merealisasikan hasrat kerajaan negeri dalam menjadikan Pulau Pinang bebas asap rokok," katanya.