X

Kindly register in order to view this article
!

PKP belum tamat, jangan suka-suka ingkar!

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Rakyat Malaysia di semua zon perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana wabak koronavirus (Covid-19) belum berakhir.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pematuhan terhadap perintah tersebut masih terpakai bagi mereka yang berada di zon hijau walaupun kawasan tersebut tidak merekodkan kes positif Covid-19.

Beliau turut mengingatkan polis akan terus mengambil tindakan tegas kepada mereka yang ingkar.

“Saya harap pematuhan ini turut dilakukan di kawasan zon hijau walaupun di kawasan itu tidak menunjukkan kes atau positif Covid-19. Mereka di kawasan tersebut perlu mematuhi undang-undang negara,” katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

“Sebelum ini ada tular di media sosial mengenai seorang lelaki warga emas ditahan polis. Biasanya polis akan menggunakan budi bicara sebelum menangkap seseorang.

“Sebenarnya individu tersebut sudah beberapa kali ditahan dan polis memberikan nasihat tetapi dia terus berdegil. Ramai yang menyalahkan polis seolah-olah tidak bertimbang rasa tetapi kisah sebenar ialah polis sudah menggunakan budi,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap zon di negara ini.

“Namun begitu, buat masa sekarang ini, walau di mana zon yang anda tinggal, patuhi arahan PKP dan pihak berkuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam telah mengadakan sebanyak 824 Sekatan Jalan Raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 446,024 kenderaan.

“Sebanyak 37,128 pemeriksaan mengejut dilakukan di seluruh negara membabitkan 6,798 premis.

“PDRM telah menahan 577 individu berbanding 386 individu hari sebelumnya kerana ingkar PKP. Daripada jumlah tersebut seramai 505 individu direman dan 72 individu dijamin polis.

Jelasnya, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 24 April ialah seramai 20,011 individu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!