Usah bebankan tugas guru

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP)
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berpendapat kefahaman pentadbir di sekolah mengenai inisiatif dan intervensi mengurangkan beban tugas guru yang diumumkan baru-baru ini adalah penting bagi memastikan pelaksanaannya berjaya.

Presidennya Kamarozaman Abdul Razak berkata tafsiran pentadbir di sekolah termasuk pengetua dan guru besar mengenai inisiatif itu mestilah sama seperti apa dinyatakan Kementerian Pendidikan (KPM) kerana jika tidak, terdapat risiko beban tugas guru akan terus wujud.

Beliau menambah pihak pentadbir di sekolah boleh merujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah jika terdapat masalah yang timbul sepanjang melaksanakan inisiatif terbabit kerana mereka telah diberi kefahaman tentang pelaksanaannya.

"Ia bergantung kepada kepimpinan sekolah selain Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah. Jika mereka tidak memahaminya, mungkin akan berlaku masalah untuk melaksanakan inisiatif itu.

“Kita berharap inisiatif ini tidak disalah tafsir seterusnya berlaku masalah (pelaksanaan) yang akan mengakibatkan bebanan tugas guru tetap berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau juga berkata pentadbir sekolah perlu diberi autonomi dalam menyelesaikan masalah yang mungkin timbul ketika melaksanakan inisiatif dan intervensi itu serta turut berpendapat jika ia dilaksanakan dengan betul, beban tugas guru boleh dikurangkan sehingga melebihi 25 peratus.

"Apa yang kita mahu ialah keseronokan murid untuk datang ke sekolah kerana perhatian guru itu lebih kepada mereka, bukan lebih kepada tugas dokumentasi," katanya.

Kamarozaman menjelaskan bahawa NUTP sangat positif dengan usaha yang dilakukan KPM itu dan menyifatkannya sebagai situasi menang-menang antara KPM dan pihak sekolah.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berkata ketika ini KPM dan NUTP sedang mengusahakan fasa kedua pengurangan beban tugas guru secara jangka sederhana dan panjang yang menyasarkan untuk menyelesaikan masalah berkenaan 100 peratus.

Isnin lepas, KPM mengumumkan lima inisiatif dan sembilan intervensi bagi mengurangkan beban tugas guru, yang mula dilaksanakan Januari tahun ini.

Antara yang diumumkan ialah sekolah dibenarkan merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang sesuai dengan keperluan murid susulan pemansuhan Peperiksaan Tahap 1.

Selain itu, turut diumumkan ialah bagi pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), terdapat penambahbaikan proses perekodan yang mana guru tidak perlu menulis perolehan, pengurangan bilangan fail dan pengisian maklumat secara digital. - Bernama