Patutkah China dipersalahkan?

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

KETIKA seluruh dunia sedang menghadapi pandemik Covid-19 ada segelintir ahli politik dari Amerika Syarikat (AS) dan Kanada telah menyeru agar China diambil tindakan atas penularan virus Covid-19. Antara mereka yang mahukan tindakan terhadap China adalah Senator AS bagi Texas Ted Cruz dari Parti Republikan. Beliau ingin memperkenalkan undang-undang ‘Ending Chinese Medical Censorship and Cover Ups Act 2020’ yang bertujuan mengenakan sekatan ekonomi terhadap China.

Senator Ted Cruz mendakwa pada peringkat awal pegawai China di Wuhan sengaja menyembunyikan fakta penularan virus sehingga ia berkembang menjadi pandemik antarabangsa.

Sementara itu, Senator Josh Hawley bagi Missouri juga dari Parti Republikan memperkenalkan undang-undang ‘Justice for Victims of COVID-19’ di mana beliau mendakwa Parti Komunis China telah gagal dalam membendung penularan virus Covid-19 pada peringkat awal sehingga menyebabkan virus dapat merebak dengan cepat. Josh juga membuat dakwaan bahawa kerajaan China dengan sengaja menahan informasi tentang virus Covid-19 dengan menangkap pemberi maklumat yang ingin melaporkan keadaan di Wuhan.

Begitu juga pendapat mantan Menteri Keadilan Liberal Kanada, Irwin Cotler. Beliau berpendapat bahawa pegawai kanan China seharusnya bertindak lebih pantas dan mereka telah sengaja menyembunyikan fakta. Oleh demikian, Cotler telah menyeru kerajaan Kanada mengambil tindakan perundangan terhadap China berdasarkan Akta Sergei Magnitsky yang pernah digunakan oleh AS terhadap negara asing (Rusia) pada 2012.

Bagaimanapun, jika diteliti secara rasional tanpa mengambil kira faktor-faktor politik China tidak sepatutnya dipersalahkan sepenuhnya. Badan yang boleh mengesahkan asal-usul dan bila virus Covid-19 mula-mula sekali dikesan adalah WHO memandangkan ia adalah organisasi antarabangsa bawah payung PBB yang bertangungjawab dalam isu-isu kesihatan.

Sehingga hari ini WHO belum mampu membuktikan secara sahih dari mana asalnya virus Covid-19. Malah menurut jurucakap China, Zhao Lijian, bahawa ada kemungkinan virus Covid-19 sudah pun berjangkit di AS sebelum ia mula dikesan di Wuhan, China. Zhao telah memetik kenyatan Pengarah Pusat Kawalan dan Penghindaran Penyakit AS, Robert Redfield dalam video Twitter yang menyatakan warga AS yang meninggal dunia akibat selesema berkemungkinan telah dijangkiti virus Covid-19 walaupun pada masa itu virus tersebut belum diketahui. Kenyataan itu telah menimbulkan pelbagai soalan seperti bila dan siapa pesakit Covui-19 yang pertama di AS? Di hospital AS yang mana kes pertama dikesan? Adakah virus tersebut di bawa masuk oleh tentera AS yang berada di Wuhan. Zhao mendakwa soalan-soalan itu masih belum terjawab. Oleh demikian, jika Senator Ted Cruz dan Josh Hawley menuding jari mereka ke China mengatakan bahawa pegawai mereka tidak telus bagaimana pula dengan AS?

Bencana

Selain itu, amalan menyalahkan negara lain atas sesuatu bencana yang tidak dirancang merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima. Sekira amalan menyalahi satu sama lain menjadi suatu norma sejagat sudah pasti dunia akan menjadi kucar-kacir dan merugikan semua pihak. Misalnya krisis ekonomi antarabangsa pada 2007-2009 berpunca daripada masalah perbankan AS dan keruntuhan bank pelaburan Lehman Brothers. Kejatuhan Lehman Brothers telah membawa tindakbalas (chain reaction) kepada ekonomi sehinggakan banyak syarikat kewangan antarabangsa terpaksa tutup dan pengangguran meningkat secara mendadak di seluruh dunia. Pernahkah mana-mana pihak ketika itu menuntut ganti rugi daripada AS? Atau memperkenalkan undang-undang untuk mengenakan sekatan terhadap AS?

Tidak dapat dinafikan China mempunyai kelemahan semasa mengendali penularan virus Covid-19. Bagaimana pun jika dibanding dengan konflik bersenjata seperti di Palestin serta Balkan penularan virus bukan sesuatu yang terancang atau disengajakan. Malah sebelum pandemik virus Covid-19 sudah ada jangkitan yang lain seperti Selesema Sepanyol atau Spanish Flu pada 1918 yang telah meragut seramai 500 juta orang dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah atau Middle East Respiratory Syndrome (MERS) maka perlukah Sepanyol dan negara-negara Timur Tengah membayar ganti rugi dan dikenakan sekatan ekonomi? Tentunya tidak kerana ia merupakan sesuatu musibah yang tidak dirancang.

Artikel Berkaitan:

Negara-negara harus memperkukuhkan kerjasama untuk menghadapi pandemik Covid-19. Buat masa kini ekonomi antarabangsa sudah berada dalam keadaan yang semakin runsing maka sebarang usaha untuk mengadakan sekatan ekonomi terhadap China hanya akan memburukkan lagi ekonomi dunia. Ini kerana China merupakan ekonomi yang kedua besar. Sebaliknya masyarakat antarabangsa harus saling mempelajari amalan terbaik atau best practices misalnya China demi untuk memutuskan rangkaian virus Covid-19 telah berjaya menjalankan perintah kurung sesuatu wilayah yang mempunyai seramai 60 juta orang pada dua hari sebelum perayaan Tahun Baru Cina. Mampukah AS serta negara-negara Eropah berbuat demikian dua hari sebelum perayaan Krismas?