Sila log masuk terlebih dahulu.

Ambil pendekatan agresif tarik FDI: PM

Malaysia akan ketinggalan jika tidak mengambil langkah agresif untuk menarik pelaburan dengan cara baharu. - Foto 123RF
Malaysia akan ketinggalan jika tidak mengambil langkah agresif untuk menarik pelaburan dengan cara baharu. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan berusaha untuk memulihkan ekonomi negara yang dilanda pandemik koronavirus (Covid-19) termasuk mengambil pendekatan agresif dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selepas ini seluruh dunia mahukan pelaburan berikutan modal dunia tidak mencukupi dan Malaysia akan ketinggalan jika tidak mengambil langkah agresif untuk menarik pelaburan dengan cara baharu.

“Kerajaan lain juga akan mengambil pendekatan dari segi teknologi dan ini memerlukan kita mengambil pendekatan baharu dalam semua aspek.

“Saya telah mengingatkan jemaah menteri, sekarang ini nampak trend di Malaysia, Covid-19 sudah agak terkawal, menurun,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika temu bual dengan RTM dan Astro Awani yang juga disiarkan di Bernama TV (Astro 502) dan stesen televisyen lain di sini hari ini..

Menurutnya, negara jiran dan negara lain masih lagi bergelut dengan masalah berikutan jumlah kes yang lebih besar.

“Sepatutnya jika mahu pulih, kita perlu pulih lebih cepat tetapi saya telah mengingatkan jangan orang lain yang di belakang boleh pergi ke hadapan daripada kita.

"Disebabkan strategi kita tidak betul, langkah kita tidak tepat atau tindakan kita tidak berkesan atau dasar kita tidak mengenai pada sasarannya. Ini perkara yang kita sedang fikirkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, oleh itu, perancangan perlu dibuat secara teratur dalam apa keadaan sekali pun.

“Ini memerlukan kebijaksanaan, malah keberanian. Bukan hanya buat itu sahaja dan mengharapkan sesuatu yang baik.

"Sehubungan itu, perlu ada pakar, ada pasukan untuk menguruskan perkara itu dan kita meneliti secara mendalam sebelum kita melaksanakannya,” katanya.

Muhyiddin berkata, swasta perlu mencari jalan untuk mengurangkan kos perniagaan dan pendekatan digital dilihat boleh membantu.

Dalam pada itu, menurutnya, kerajaan memahami kesan keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada ekonomi tetapi tidak mempunyai pilihan lain untuk mengawal wabak Covid-19.

“Jelas terbukti sehari perniagaan kita tidak berjalan, kita rugi RM2.4 bilion. Cuba kira berapa hari sudah kita mengenakan PKP ini, kesan kepada ekonomi amat buruk.

“Saya sedar tetapi disebabkan penting untuk mengawal wabak itu supaya tidak berjangkit dan merebak ke seluruh negara dengan jumlah berpuluh-puluh ribu atau mati beribu seperti yang berlaku di sesetengah negara. Kita tidak ada pilihan,” katanya.

Menurutnya, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 bernilai RM260 bilion yang disediakan oleh kerajaan bertujuan melindungi ekonomi.

“Pakej tersebut (dirangka) supaya kedudukan ekonomi kita tidak begitu teruk sekali. Ini pun dikatakan pakej rangsangan, untuk bantuan datang dalam satu bentuk satu jangka yang tidak terlalu panjang mungkin antara tiga dan enam bulan sahaja,” katanya.

"Pembiayaan langsung kerajaan berjumlah RM35 bilion yang akan meningkatkan defisit belanjawan kepada 4.7 peratus pada tahun ini daripada unjuran sebelum ini sebanyak 3.2 peratus.

“Kita perlu menentukan dalam kita menjaga dan memelihara kesejahteraan rakyat daripada wabak Covid-19, kita juga mahu memastikan ekonomi kita mampu bertahan dalam satu jangka masa yang agak berpatutan,” katanya.

Katanya, Malaysia terbentuk atas dasar ekonomi yang kukuh dan sudah berkembang dalam tempoh yang lama dan ia tidak boleh dibiarkan runtuh.

“Melalui kegiatan ekonomi, kerajaan memungut cukai tetapi dalam keadaan kalau perniagaan sudah rosak, atau rugi, mana pendapatan yang kerajaan boleh tampung untuk membiayai segala keperluan rakyat. Tak mungkin kita dapat melaksanakan itu,” katanya.

Oleh itu, katanya, perlu membuat sesuatu untuk mendukung usaha dilakukan pihak industri, pihak perniagaan dan rakyat yang diambil bekerja dalam sektor-sektor sama ada kecil atau sederhana atau besar dapat mempertahankan kedudukan mereka.

“Itu menjadi keutamaan saya, jangan ada yang dibuang kerja, atau diberhentikan dan lain-lain lagi. Langkah yang kita buat, dalam pakej rangsangan itu seperti subsidi upah ialah supaya kita dapat membantu syarikat, kilang. Dengan cara itu, sedikit sebanyak beban yang ditanggung majikan dapat dibantu dengan pemberian subsidi upah,” katanya.. - Bernama