X

Kindly register in order to view this article
!

Strategi Tun M, Muhyiddin dan Anwar

A
A

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan sebuah Jemaah Menteri yang besar dengan meletakkan lebih daripada separuh ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) diberi jawatan menteri dan timbalan menteri.

Tujuannya didakwa untuk memastikan kedudukan PN tidak goyah dan ditumbangkan kerana sudah ada ura-ura Pakatan Harapan (PH) akan membawa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Menurut analisis Sin Chew Daily, Muhyiddin amat berhati-hati dalam melakukan pelantikan berkenaan bagi memastikan semua pemimpin PN memberikan sokongan kepadanya.

Ia termasuk mengosongkan jawatan Timbalan Perdana Menteri serta memberikan lapan jawatan menteri dan 11 jawatan timbalan menteri kepada tiga negeri di pantai timur.

Selain itu, Sarawak turut diberi layanan istimewa apabila memperoleh empat jawatan menteri dan tujuh jawatan timbalan menteri.

“Semua parti yang menyokong kepimpinan Muhyiddin tidak terpinggir. Muhyiddin perlu memuaskan hati semua parti ini bagi mengelakkan perpecahan dalam PN.

“Ketika di bawah kerajaan PH, jumlah menteri dan timbalan menteri adalah seramai 50 orang. Tetapi kini ditambah kepada 70 orang. Adalah dijangkakan kerajaan PN akan memperoleh 113 undi majoriti mudah.

“Oleh itu, tidak hairanlah apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Muhyiddin telah mendapat sokongan yang cukup untuk menggagalkan usaha pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadapnya,” tulis akhbar itu.

Bagaimanapun, akhbar itu menganggap kedudukan kerajaan yang dipimpin Muhyiddin masih lemah dan bila-bila masa boleh diambil alih oleh pembangkang sekiranya tidak berhati-hati.

“Muhyiddin perlu berusaha mendapat sokongan daripada Tun M. Ketika ini, kem Tun M mempunyai enam ahli Parlimen sementara Warisan mempunyai sembilan ahli Parlimen di Sabah.

“Sekiranya 16 ahli Parlimen sertai PN, sudah tentu kedudukan Muhyiddin semakin kukuh dan mampu kekalkan kuasa sampai habis penggal,” kata akhbar itu.

Dalam pada itu, Nanyang Siang Pau percaya pertemuan antara Anwar dengan Muhyiddin di pejabat Perdana Menteri pada 14 April lalu adalah untuk berbincang mengenai isu politik.

“Ada yang menyatakan mereka bertemu untuk berbincang soal penularan wabak Covid-19. Sebenarnya mereka bertemu adalah untuk menyelesaikan masalah politik,” tulis akhbar itu.

Teka-teki mengenai pertemuan antara Muhyiddin dengan Anwar telah mendorong pemerhati politik memikirkan bagaimana pula dengan nasib Dr Mahathir yang dikatakan masih berminat meneruskan perjuangannya dalam politik di negara kita.

Akhbar itu berpendapat zaman Dr Mahathir sebenarnya telah berlalu dengan menggariskan beberapa bukti kukuh kenapa bekas Perdana Menteri itu perlu berundur segera.

“Pertama, hubungan beliau dengan pihak istana kini sudah semakin renggang; kedua, hubungan beliau dengan Anwar semakin buruk dan boleh dikatakan sudah tidak ada harapan bagi mereka berdua menjalinkan kerjasama seperti sebelumnya dan ketiga, jawatannya dalam Bersatu sudah semakin terhakis walaupun menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu,” ulas akhbar itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!