Lepas geram atau mencari salah?

A
A
A

SEJAK bermulanya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, satu pola gelagat yang wujud sekian lama dalam kalangan pengguna media sosial semakin membesar iaitu pembentukan ‘komuniti berimaginasi alam maya’.

Barangkali disebabkan tempoh berada dalam rumah yang terlalu panjang, maka telefon bimbit atau komputer menjadi peneman setia sehingga ia digunakan sepenuhnya dalam tempoh ini.

Perintah kawalan ini boleh dianggap menjadi pemangkin ke arah pembentukan komuniti alam maya ini yang bukan norma baharu tetapi ia seolah-olah berubah daripada bersifat sementara kepada tetap. Ia boleh timbul dalam kumpulan WhatsApp, Telegram, YouTube, Instagram dan Facebook.

Namun, sejauh manakah wujud etika atau saringan untuk mengelak penyalah-

gunaan media sosial yang mempamer keburukan diri sendiri dengan menyebar maklumat kurang tepat dan perkongsian fitnah.

Banyak persoalan timbul apabila hadirnya ‘wartawan rakyat’ yang dilabel menganggotai ‘jabatan netizen negara’. Di sebalik perkongsian kejayaan dan hobi serta penceritaan diri yang banyak disampaikan untuk tatapan pengikut mereka; pada waktu sama ada melepas geram dan mencari salah sesiapa sahaja yang lalu di depan skrin mereka.

Tuduhan, provokasi, penghinaan, mengaib, ejekan kata kesat, mencarut dan menghasut sudah bukan luar biasa. Maka timbul persoalan: sempurnakah netizen yang tergolong dalam kelompok yang bersikap seperti itu sehingga menuding jari kepada yang lain?

Ada yang memanjangkan dan menular sesuatu isu atau berita tanpa mengetahui kesahihannya sehingga yang palsu menjadi benar dan yang betul mencurigakan khususnya isu 3R (agama, raja dan etnik).

Artikel Berkaitan:

Mengaib yang lain semakin menjadi-jadi sehingga lupa diri sendiri. Ada juga yang menggunakan isu yang tidak mempunyai kepentingan politik dijadikan umpan mencari sokongan politik, sebagaimana isu agama dan etnik turut menjadi sasaran mereka.

Ada baiknya kita cuba mencerminkan diri sendiri sebelum menegur orang lain kerana membuka aib orang lain merupakan sifat yang menderhaka kepada hubungan sesama manusia.

Ada pula yang memper-lekehkan pemimpin agama yang membuat kebajikan dan waktu yang sama, ada mencaci agama dan kaum dalam perkara yang tidak ada kena-mengena sama sekali. Ini tidak termasuk ‘buli siber’ yang berlegar hari ini, misalnya memalukan fizikal badan seseorang.

Apakah ini tahap literasi media sosial walaupun mengaku berpendidikan? Ini berbeza dengan zaman orang tua kita yang menunjukkan bagaimana mereka membina rangkaian hubungan sosial dengan berprinsipkan muafakat, sejahtera dan budi tanpa adanya media sosial ketika itu.

Pastinya tidak merugikan jika kita merendah diri daripada berlaku angkuh, biadap, sombong dan bongkak. Hidup ini adalah putaran roda kerana ia berubah sentiasa.

Peranan semak imbang dalam media sosial adalah sihat tetapi jika celupar sehingga cuba memalukan seseorang termasuk anggota keluarganya adalah perbuatan yang songsang dengan kod kehidupan yang direstui oleh manusia.

Media sosial bukan ruang untuk melepaskan geram, marah atau kekecewaan mahupun mencari kesalahan orang lain.

Media sosial memberikan satu platform kepada kita untuk terus berhubung dengan yang lain walaupun wujud penjarak-kan fizikal dan sosial yang ketara. Ia cuba membawa kita bersama tanpa mengira batasannya kerana perubahan teknologi, namun alat komunikasi ini tidak boleh dibenarkan untuk menodai nilai keinsanan setiap manusia yang berbeza ragamnya.

Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Jangan kita berlagak sombong kerana ‘kail sebentuk, umpannya seekor, sekali putus sehari berhanyut’. Kita mahu terus kekalkan nilai yang sudah dibina selama ini.

Keterbukaan ruang alam maya tidak bermakna ia memberi kebebasan mutlak walaupun sifatnya sedemikian rupa. Kita bertanggungjawab ke atas apa yang mahu disiar, dibaca dan dijadikan sebagai bahan perkongsian. Ini perlu menjadi asas kepada normal baharu yang sedang dijejaki sejak bermulanya PKP.

Ada pula yang memperlekehkan pemimpin agama yang membuat kebajikan dan waktu yang sama, ada mencaci agama dan kaum dalam perkara yang tidak ada kena-mengena sama sekali.”