Krisis uji daya tahan negara

A
A
A

MENYAMBUNG perbincangan mengenai krisis ekonomi global yang berpunca daripada perang dagang Amerika-China dan pandemik Covid-19, izinkan saya merujuk kepada masalah kewangan syarikat minyak Singapura, Hin Leong Trading Private Ltd.

Tidak banyak orang tahu atau peduli mengenai syarikat raksasa milik tauke China Singapura ini selain hakikat bahawa ia berjaya bersaing dengan syarikat-syarikat minyak multinasional.

Tetapi akibat kesan Covid-19 kepada ekonomi dunia, khususnya ke atas permintaan bahan bakar, syarikat ini tidak lagi mampu membayar balik hutang berjumlah hampir AS$4 bilion (kira-kira RM17.2 bilion) kepada 23 buah bank.

Bukan itu saja, syarikat milik pendatang negara China bernama Lim Oon Kuin atau lebih terkenal dengan panggilan O.K. Lim, ini juga mengaku yang ia menyembungikan kerugian kira-kira AS$800 juta (RM3.4 bilion) akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia. Lim telah meminta bank-bank agar tidak menarik balik pinjaman kepadanya.

Laporan media massa antarabangsa mengatakan antara bank yang terbabit adalah CIMB Berhad. Ini menyebabkan harga saham CIMB di Bursa Malaysia jatuh 34 sen sehingga Khamis lalu.

Apa yang berlaku kepada Hin Leong dan kesannya kepada CIMB di Malaysia adalah pratayang kepada kesan rantaian krisis ekonomi global yang sedang melanda sekarang.

Di Malaysia, antara langkah kerajaan meringankan beban orang ramai yang berhutang kepada institusi kewangan adalah dengan menangguhkan pembayaran balik selama enam bulan.

Bagi peminjam, khususnya peminjam kecil, mereka tentu gembira dan menarik nafas panjang. Tetapi matlamat sebenar dan mutakhir adalah bagi melindungi industri perbankan.

Artikel Berkaitan:

Dalam keadaan ekonomi sekarang, banyak orang tidak mampu bayar balik hutang kepada bank. Apabila ini terjadi, bank akan menderita hutang lapuk. Hutang lapuk yang banyak akan melemahkan kedudukan kewangan mereka dan dalam keadaan ekstrem boleh menyebabkan mereka muflis.

Inilah yang berlaku ketika krisis ekonomi pertengahan tahun 1980-an dan sewaktu Krisis Kewangan Asia 1997-98. Sistem perbankan mengalami masalah hutang lapuk yang teruk sehingga ada yang muflis manakala yang lain digalakkan berhagung supaya menjadi lebih besar dan kuat.

Sejak itu, hujah yang sering disuarakan oleh kerajaan - tidak kiralah kerajaan Barisan Nasional, Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional – ialah asas ekonomi kita kuat dan sistem perbankan kita kukuh.

Ini adalah hasil perubahan besar yang dilakukan ke atas sistem kewangan dan perbankan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan bantuan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin. Mereka menstrukturkan semula sistem kewangan negara.

Jadi dengan memberi kelonggaran kepada orang ramai, kerajaan sekali gus membantu bank dan institusi kewangan daripada dibenani hutang lapuk.

Dalam krisis seperti sekarang, perikamanusiaan dan keprihatinan amat penting. Setiap individu perlu dibela. Tetapi yang lebih utama adalah sistem kewangan.

Kerajaan boleh membiarkan syarikat dan individu muflis tatapi kerajaan tidak akan sekali-kali membenarkan sistem pembankan runtuh.

Dengan apa acara sekali pun, kerajaan akan melindungi system perbankan kerana kalau sistem perbankan roboh maka hancrurlah ekonomi negara. Mata wang akan hilang nilai dan urusan ekonomi terbantut.

Dalam keadaan paling ekstrem, segala urusan jual beli akan terhenti. Semua jenis barang dan perkdidmatan - daripada rumah tersergam kepada secupak beras dan rawatan perubatan akan hilang nilai monetarinya.

Jual beli tidak dapat dijalankan. Kita mungkin terpaksa balik ke zaman silam dengan berukar-tukar barang dan perkhidmatan.

Sebab itulah Menteri-menteri kewangan yang handal di merata dunia muncul atau dilantik ketika krisis ekonomi dan kemampuan kerajaan keseluruhannya diuji ke tahap maksimum.

Wallahuaklam.

* A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara