X

Kindly register in order to view this article
!

Hayati peringatan KWSP: Anwar

Anwar Ibrahim ketika FB Live hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat negara ini perlu menghayati peringatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengajak mereka tidak mengabaikan masa hadapan masing-masing hanya disebabkan kesesakan kini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peringatan KWSP itu merujuk kepada langkah kerajaan membenarkan pekerja di negara ini memohon Skim Pengeluaran Akaun 2 i-Lestari bermula 1 April lalu, yang membolehkan mereka mengeluarkan caruman RM500 sebulan dalam tempoh 12 bulan.

Menurutnya, sebenarnya kesesakan kini ditanggung rakyat akibat pandemik koronavirus (Covid-19) dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepatutnya ditampung kerajaan.

"Saya menghormati pandangan sebahagian rakyat yang menganggap kebenaran mengeluarkan wang caruman KWSP merupakan hak mereka untuk diputuskan.

"Bagaimanapun, kenyataan KWSP beberapa hari lalu ada memperingatkan caruman kepada agensi itu adalah untuk simpanan hari muka sebagaimana mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan.

"Sebab itu saya bersetuju pendapat rakyat mengatakan duit KWSP hak mereka, saya juga berharap mereka menghayati peringatan KWSP supaya jangan mengabaikan masa hadapan sendiri hanya kerana kesesakan kini," katanya pada sesi Facebook secara langsung di laman sosialnya petang tadi.

Anwar turut merujuk kenyataan pengurus KWSP, Tengku Ali Zakri yang memperingatkan sejumlah 71.4 peratus rakyat bekerja sendiri hanya mampu memiliki simpanan setakat tempoh sebulan, manakala bagi 82.7 peratus rakyat bekerja swasta, simpanan mereka hanya bagi tempoh dua tahun.

"Maknanya jika kita bersara esok, adakah kita masih mempunyai wang simpanan KWSP kerana ia sudah diambil sekarang.

"Kesesakan kini tidak harus ditanggung rakyat menggunakan wang KWSP sendiri, sebaliknya perlu ditampung kerajaan bertanggungjawab," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!