JKM optimis bantuan lebih tersusun jika ada PKPD baharu: Rina

Rina Mohd Harun (dua, kanan) ketika melakukan tinjauan di Pusat Pengumpulan Bantuan Makanan JKM Dewan Masyarakat (MPKK) Kampung Selayang Indah hari ini. -Foto Bernama
Rina Mohd Harun (dua, kanan) ketika melakukan tinjauan di Pusat Pengumpulan Bantuan Makanan JKM Dewan Masyarakat (MPKK) Kampung Selayang Indah hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

GOMBAK - Berbekalkan pengalaman mengurus dan menyalurkan bantuan makanan ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sedia ada, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini lebih optimis bantuan dapat disampaikan dengan lebih cekap jika wujudnya PKPD baharu pada masa hadapan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia susulan penambahbaikan yang dilakukan melalui pemerhatian dan pengalaman menguruskan situasi di beberapa kawasan PKPD seperti di Simpang Renggam, Sungai Lui dan Selangor Mansion.

“Kali ini penyelarasan dibuat lebih awal sebagai persediaan. Jadi apabila pengumuman dibuat, bantuan akan terus disampaikan, tidak perlu lagi tunggu sehari atau dua selepas pengumuman," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat pengumpulan bantuan bekalan makanan JKM di Gombak di sini hari ini.

Malahan, JKM juga dalam keadaan siap siaga seandainya PKP dilanjutkan pada masa hadapan serta terdapatnya kawasan PKPD baharu dengan bantuan akan diberikan mengikut kesesuaian dan ditambah baik.

“Sebab itu saya tidak pernah umumkan berapa 'harga' bakul makanan kerana pemberian adalah mengikut kesesuaian semasa.

“Seperti sekarang, bulan Ramadan. Walaupun tiada bantuan khas tetapi dalam bakul makanan itu mungkin kita akan tambah beberapa barangan yang bersesuaian seperti kurma, kuih raya dan ketupat segera,” katanya.

Rina juga menjelaskan koordinasi sumbangan antara daripada JKM dan badan bukan kerajaan (NGO) akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Apabila sesuatu kawasan diisytiharkan PKPD, JKM akan menerima banyak bantuan, bukan saja daripada kerajaan tetapi juga NGO yang sama-sama hendak membantu.

Artikel Berkaitan:

“Kita menerima barangan dan tidak menetapkan jumlah dan jenis barangan memandangkan ia terpulang kepada kemampuan NGO itu.

“Bagi barangan kali ini, bantuan dari JKM dilekatkan stiker kerana jika tidak, masyarakat akan keliru dan isu akan terus berulang," jelasnya.- Bernama