Amaran keras kepada pencandat sotong

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Zain
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Zain
A
A
A

MARANG - [KEMAS KINI] Orang ramai diberi amaran supaya tidak melakukan aktiviti mencandat sotong sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, aktiviti itu hanya dibenarkan kepada individu yang memiliki kad Persatuan Nelayan dan pemegang lesen menangkap ikan yang sah sahaja.

Menurutnya, walaupun musim mencandat sebenar belum tiba iaitu pada bulan Mei tetapi melalui pemantauan mendapati sudah ramai yang menjalankan aktiviti berkenaan terutama membabitkan penduduk setempat.

"Kami mendapati majoriti yang melakukan aktiviti tersebut adalah dalam kalangan yang sudah memiliki pekerjaan tetap serta memperoleh gaji seperti biasa tetapi memberi alasan mencandat sekadar 'suka-suka' kerana bosan duduk di rumah.

"Jadi selepas ini, individu yang masih berdegil akan terus dikenakan tindakan undang-undang kerana sebelum ini pelbagai amaran dan peringatan sudah diberikan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Mohd Zain berkata, lokasi dijangka menjadi tumpuan untuk kaki candat sudah dikenalpasti malah rondaan lebih kerap akan dilakukan terutama apabila tiba musim candat sotong.

"Kami juga meminta kerjasama penduduk tempatan yang mengetahui adanya aktiviti mencandat sotong daripada kumpulan yang tidak dibenarkan ini dapat menyalurkan maklumat agar tindakan dapat dilakukan segera.

"Dalam hal ini, kami akan bertindak tegas dan tidak akan memberi 'muka' lagi kerana sebelum ini sudah banyak peringatan serta nasihat diberikan malah kita menganggap masyarakat semua sudah tahu tentang PKP, " kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Zain berkata, pihaknya mendapati kadar pematuhan orang ramai di daerah ini semakin merosot berkemungkinan kerana mereka menganggap berada di zon selamat daripada koronavirus (Covid-19) yang tidak merekodkan banyak kes.

"Selain itu, orang ramai dilihat sudah mula berani dan pandai memberi alasan terutama pada PKP fasa ketiga ini berbanding fasa satu dan dua sebelum ini," katanya.