11 penjara khas tempatkan pesalah ingkar PKP

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 11 akademi penjara khas yang diwartakan sebagai pusat tahanan untuk menempatkan pesalah yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini mula beroperasi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini seramai 58 individu yang dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah kerana ingkar PKP telahpun mula dihantar penjara sementara tersebut.

Menurutnya, sehingga semalam seramai 19,434 individu didapati ingkar PKP manakala 649 individu daripadanya dituduh di mahkamah.

“Semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 830 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 537,320 kenderaan.

“Sebanyak 40,892 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 5,817 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, jumlah tangkapan melibatkan ingkar PKP juga telah menurun dengan 386 individu ditangkap semalam berbanding 550 individu hari sebelumnya melibatkan 332 individu direman manakala 54 lagi dijamin polis.

Mengulas lanjut perkembangan berkaitan, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan sentiasa tegas dalam memastikan sempadan dan kedaulatan negara tidak diceroboh dengan memperhebat serta memperketatkan pemantauan sempadan termasuk ‘lorong tikus’.

“Sejak PKP dilaksanakan, seramai 84 individu telah ditangkap kerana mencerobohi negara melalui 'lorong tikus'.

Artikel Berkaitan:

“Setiap agensi keselamatan terlibat dalam memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara terutamanya ‘lorong tikus’ bagi mengelak pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara sekaligus membendung penularan koronavirus (Covid-19) ke dalam negara,” katanya.