KPKT kaji tambah baju kalis api untuk bomba

Zuraida (kanan) ketika hadir pada Majlis Pelancaran Program ‘Property Hot Seat’ di Wisma Bernama hari ini. - Foto Bernama
Zuraida (kanan) ketika hadir pada Majlis Pelancaran Program ‘Property Hot Seat’ di Wisma Bernama hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengkaji keperluan untuk mendapatkan 9,000 baju kalis api untuk kegunaan pasukan bomba menerusi tender terbaru, berbanding rancangan asal hanya 6,000 unit.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata penambahan baju kalis api itu dirasakan perlu seiring dengan peredaran masa dan pertambahan anggota, selain tiada tender baharu untuk membeli baju kalis api dikeluarkan sejak 2015.

"Tender baharu dibuka pada bulan ini dan pada Februari kita jangka akan mendapat 6,000 baju kalis api tetapi kemungkinan saya akan naikkan lagi permintaan kerana saya percaya kita kena ada stok untuk 'standby' kalau kita perlukan lebih banyak di masa hadapan," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai pembelian baju kalis api menerusi tender sebelum ini yang dikatakan tidak selamat.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program bual bicara hartanah berbahasa Inggeris, Bernama News Channel (BNC) yang dinamakan 'Bernama Property Hot Seat Presented by Sunsuria' yang akan bersiaran secara langsung pada setiap Khamis bermula 21 Feb, pada 8.30 malam.

Program 30 minit itu diterbitkan oleh Pengarah Urusan APS Management Services Datuk Seri Dr Vincent Tiew Soon Thung, usahawan hartanah yang juga merupakan hos program, bersama peguam hartanah, Chris Tan Chur Pim.

Dalam pada itu, Zuraida ketika ditanya adakah sebarang tindakan akan diambil bagi mengelak insiden pembelian baju kalis api 'tidak selamat' daripada berulang, beliau secara berseloroh berkata, "Satu daripada ayarat tender, saya fikir saya akan suruh pembekal untuk buat demonstrasi ... dia kena masuk dalam api dulu."

Beliau kemudian menegaskan bahawa tender baharu itu nanti akan dibuat dengan lebih ketat, dengan mengambil kira tawaran dan kualiti yang terbaik serta harga berpatutan.

"Pada 2015 dikeluarkan tender untuk membekal baju kalis api tetapi didapati baju yang dibekalkan tidak mengikut spesifikasi yang boleh kalis api, jadi tentu kita tidak boleh terima. Kalau anggota bomba pergi bukan boleh tahan api, tetapi dia pula terbakar, itu tidak betul.

Artikel Berkaitan:

"Pada ketika itu, ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan baju itu membuat laporan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)... dan kes ini sedang dalam siasatan. Kita serah kepada mahkamah untuk tentukan apakah isunya sebenarnya," katanya.

Sementara itu, Zuraida menafikan kerajaan melarang warga asing membeli aset di Forest City, Johor, namun pihaknya sedang menunggu laporan daripada pemaju Forest City di Johor mengenai pelan mereka tentang kuota rumah mampu milik di kawasan itu.

"Tiada larangan kepada warga asing untuk membeli aset di situ... mereka boleh membeli seperti pembelian oleh warga asing biasa, cuma yang kita khuatir ialah komponen rumah mampu milik tiada di situ, dan kami sedang menunggu pihak pemaju untuk mengemukakan kepada kita apa cadangan mereka, apa idea mereka untuk memenuhi kuota untuk keperluan rumah mampu milik dalam pembangunan Forest City.

"Mereka sebenarnya telah menyediakan pelan itu, tetapi saya suruh mereka kaji semula kerana kami belum berpuas hati dengan cadangan mereka," kata beliau. - Bernama