Sarawak perkenal bazar Ramadan dalam talian

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

KUCHING - Sarawak mengambil langkah membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menambah pendapatan mereka sewaktu bulan puasa dengan memperkenalkan bazar Ramadan dalam talian, Bazar Ramadan Online Sarawakku Sayang (BROSS) di Facebook.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, BROSS diwujudkan sebagai satu alternatif kepada bazar Ramadan yang tidak dibenarkan dibuka pada tahun ini berikutan kebimbangan penularan pandemik Covid-19.

“Dengan isu Covid-19 yang membimbangkan kita dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang masih berkuat kuasa, usahawan wanita terutamanya perlu mengambil kesempatan ke atas perniagaan dalam talian (menerusi BROSS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kementerian yang diterajuinya menyokong perniagaan dalam talian menerusi program ePreneurs yang boleh menyediakan pasaran lebih besar dengan keselesaan bekerja dari rumah dan menggunakan strategi pra tempah.

“Dalam perniagaan makanan adalah penting terutamanya untuk mengelak pembaziran,” katanya.

Pendaftaran untuk BROSS sama ada sebagai usahawan atau wakil boleh dibuat secara dalam talian. - Bernama

Artikel Berkaitan: