'40 tahun berlalu masih banyak balai polis daif'

Wan Ahmad Najmuddin (kanan) ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Balai Polis Bayu Damai, hari ini.
Wan Ahmad Najmuddin (kanan) ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Balai Polis Bayu Damai, hari ini.
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti balai polis yang daif dan uzur di seluruh negara untuk tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, di peringkat Bukit Aman telah pun diadakan perjumpaan dengan Menteri KDN membincangkan hal tersebut.

Menurutnya, masalah balai polis daif dan tempat kerja yang tidak begitu selesa bukan sahaja berlaku di Johor tetapi di seluruh negara.

"Samalah seperti lawatan kerja saya di kontinjen Sarawak di mana ia adalah kontinjen pertama saya berkhidmat di Miri pada tahun 1980 kini masih dalam situasi daif. Bahkan sekarang lagi teruk..syiling reput.

"Perkara ini sudah dibawa kepada menteri KDN. Insya-ALLAH mungkin dengan pengetahuan beliau perkara ini di bawa ke Kementerian Kewangan (MoF)," katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Balai Polis Bayu Damai, hari ini.

Tambahnya, pihaknya menyedari akan keadaan itu tambahan pula beliau antara pegawai yang telah bertugas selama 40 tahun namun tiada sebarang perubahan sehingga kini.

Jelasnya, pihak Bukit Aman juga sudah mengenal pasti bangunan yang telah usang dan telah menghantar maklumat itu kepada KDN.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Najmuddin ketika berucap pada majlis itu berkata, kewujudan Balai Polis Bayu Damai amat bertepatan dengan kapasiti penduduk yang bertambah iaitu seramai 14,200 orang selepas Pengerang menjadi tumpuan pelabur bagi urus niaga komersial dan pusat industri utama di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Balai Polis Bayu Damai yang berkeluasan 16,389.46 meter persegi siap pembinaan pada 15 November 2016 kini menempatkan 156 pegawai dan anggota.

"Kewujudan aktiviti ekonomi ini menyumbang ke arah pertambahan kadar penduduk yang tinggi dan sudah tentu amat memerlukan perkhidmatan kepolisan bagi menjaga keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam

“Dengan adanya balai ini, pastinya akan menjadi penggerak dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua penduduk setempat dengan menjadikan keselamatan komuniti tanggungjawab utama PDRM seterusnya membendung jenayah dan menjamin kesejahteraan penduduk,” katanya lagi.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah.