Peguam didakwa pecah amanah lebih RM300,000

Safrina (kanan) sewaktu dibawa ke Mahkamah Sesyen Kluang, hari ini.
Safrina (kanan) sewaktu dibawa ke Mahkamah Sesyen Kluang, hari ini.
A
A
A

KLUANG - Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kluang, di sini, hari ini, atas tuduhan tiga kes pecah amanah melibatkan wang bernilai RM355,437 milik tiga pelanggannya pada tahun 2017.

Pengakuan Safrina Saadan, 35, itu direkodkan di hadapan Hakim K Rajeswari selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah pada 22 Jun 2017 melibatkan jumlah wang sebanyak RM140,000 yang diamanahkan oleh pelanggannya untuk urusan jual beli rumah.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa mengulang semula perbuatan tersebut pada 11 Ogos 2017 dan 3 Oktober 2017 masing-masing melibatkan wang pelanggannya sebanyak RM75,440 dan RM40,000 di Firma Tetuan Safrina Saadan & CO di Jalan Rambutan, di sini.

Bagi semua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shaarmini Arjunan, manakala tertuduh diwakili peguam Anita dan Ramesh daripada Tetuan Ramesh & Co dan Tetuan Gan dan Zul.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 7 Februari 2019 sebagai sebutan semula kes dan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi setiap kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM21,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, tertuduh juga mempunyai dua kes lain yang masih dalam siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan melibatkan kerugian berjumlah RM270,000.

Artikel Berkaitan: