Edar rokok seludup guna syarikat penghantaran

Ashari (kanan) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cameron Highlands, Asisten Superintendan Abdul Halim Hamat menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas susulan penahanan dua lelaki di sekitar daerah itu kelmarin
Ashari (kanan) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cameron Highlands, Asisten Superintendan Abdul Halim Hamat menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas susulan penahanan dua lelaki di sekitar daerah itu kelmarin
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Polis Cameron Highlands berjaya mematahkan cubaan pengedaran 700 karton rokok seludup bernilai RM900,000 termasuk cukai menggunakan syarikat penghantaran di sini dalam dua serbuan berasingan kelmarin.

Hasil serbuan kira-kira jam 3 petang dan 3.30 petang itu turut menahan dua suspek berusia 28 dan 29 tahun.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek pertama berusia 29 tahun ditahan jam 3 petang di kawasan Perumahan Makmur Tanah Rata di sini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki itu, polis berjaya menemui dan merampas dua bungkusan kotak rokok seludup dipercayai baru diambil dari pusat pengumpulan sebuah syarikat penghantaran.

"Suspek kedua berusia 28 tahun ditahan jam 3.30 petang di tepi jalan besar Kampung Raja, Blue Valley di sini.

"Hasil pemeriksaan kita menemui sembilan kotak rokok seludup di bahagian belakang kenderaan dipandu dan hasil soal siasat mendapati suspek juga baru mengambil bungkusan rokok yang dihantar melalui syarikat penghantaran di Kampung Raja," katanya.

Ashari berkata, pihaknya percaya sindiket penyeludupan rokok tidak bercukai itu memilih menggunakan syarikat penghantaran berlesen untuk menghantar rokok seludup itu kepada pelanggan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan ketika ini.

"Sindiket dipercayai menggunakan taktik itu bagi mengelak risiko ditahan pada sekatan jalan raya yang dilaksanakan pihak polis ketika ini.

Artikel Berkaitan:

"Mereka (sindiket) juga mungkin bimbang tertangkap jika dihantar sendiri berikutan arahan dikeluarkan pihak polis untuk membuat pemeriksaan rambang terhadap kenderaan bertutup yang mencurigakan di semua sekatan jalan raya," katanya.

Beliau berkata,kedua-dua suspek bersama rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

"Suspek juga disiasat di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana melanggar PKP,"katanya.