Program Jom Baca Bersama 2020 dapat sambutan luar biasa

Program Jom Baca Bersama tahun ini diadakan menerusi medium digital dalam talian mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta di Pulau Pinang. Gambar kecil: Sharimah
Program Jom Baca Bersama tahun ini diadakan menerusi medium digital dalam talian mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta di Pulau Pinang. Gambar kecil: Sharimah
A
A
A

SEBERANG JAYA - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan ketika ini tidak menjadi penghalang kepada kejayaan program Jom Baca Bersama 2020 yang diadakan serentak di seluruh negara pada Khamis lalu.

Berbeza dengan sebelum ini, program Jom Baca Bersama kali ini berlangsung melalui platform digital di semua media rasmi Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang dan menarik hampir setengah juta penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang, Sharimah Salleh berkata, masyarakat kini semakin prihatin dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap ilmu dengan menjadikan proses membudayaan ilmu menjadi lebih mudah meskipun terbatas dengan PKP yang sudah memasuki fasa ketiga.

Menurutnya, program ini diilhamkan oleh Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia dengan memfokuskan matlamat kepentingan membaca dalam hidup yang perlu diberikan perhatian dan diangkat menjadi program kebangsaan.

"Program jom baca bersama ini juga bertujuan menimbulkan kesedaran umum terhadap amalan membaca tanpa mengira stratifikasi sosial dan status ekonomi dalam masyarakat kita pada masa kini.

"Paling unik ketika seluruh dunia masih berdepan dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19), namun program ini tetap dapat dijayakan secara maya serentak seluruh Malaysia bersempena Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Sharimah berkata, program ini juga merupakan kesinambungan daripada pengumuman Kuala Lumpur sebagai kota buku dunia bagi tahun ini seperti yang diumumkan Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), Audrey Azoulay.

Menceritakan perjalanan aktiviti yang diadakan, Sharimah berkata, program ini turut menggunakan aplikasi dalam talian ZOOM yang menarik hampir 500 penonton mengikuti program yang disiarkan secara langsung bermula pada jam 11 pagi sehingga 11.10 minit pagi.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, peserta juga berpeluang berkongsi gambar dan video momen aktiviti membaca di rumah dengan memuat naik secara terus dan meletakkan #jombacabersama serta #pulaupinangmembaca.

"Mereka juga berpeluang melihat sendiri pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang tempoh PKP di Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang," katanya.