Manfaatkan teknologi bagi program Ihya' Ramadan masjid

Ustaz Wan Mohd Hazim Mohamed
Ustaz Wan Mohd Hazim Mohamed
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengurusan masjid di Terengganu diminta lebih kreatif dengan memanfaatkan kemudahan teknologi dalam menggerakkan aktiviti Ihya' Ramadan.

Imam Besar Negeri Terengganu, Ustaz Wan Mohd Hazim Mohamed @ Wan Mohd Hashim berkata, walaupun terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid boleh menumpukan untuk mengimarahkan Ramadan melalui saluran media sosial.

Menurutnya, mereka boleh menggunakan kreativiti untuk menghasilkan manfaat yang boleh disebar kepada masyarakat.

"Antara program yang boleh dilakukan ialah tazkirah atau kuliah berkaitan Ihya Ramadan di Facebook atau Instagram milik masjid, sama ada secara langsung atau muat naik video serta poster berkaitan ilmu atau pesanan bermanfaat.

"Mereka juga boleh membuat sesi soal jawab berkaitan ibadah di bulan Ramadan, bacaan al-Quran oleh bilal bertugas sebelum azan atau tadarus al-Quran online melalui pelbagai aplikasi di playstore.

"Platform itu juga boleh digunakan untuk menguar-uarkan kepada jemaah bahawa mereka masih boleh meneruskan amalan sedekah kepada tabung masjid walaupun tidak dapat berjemaah melalui transaksi secara online banking," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi pengurusan masjid yang tiada kemahiran penggunaan teknologi, mereka disarankan meminta bantuan daripada individu yang mempunyai kemahiran tersebut.

Jelasnya, wabak koronavirus (Covid-19) ini tidak seharusnya membuatkan aktiviti Ihya Ramadan tergendala, sebaliknya ia masih boleh diteruskan dengan memanfaatkan medium teknologi yang ada pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Pengurusan masjid yang ingin menggerakkan aktiviti Ihya Ramadan di masjid masing-masing dalam tempoh PKP ini perlu meneliti program yang hendak dilaksanakan supaya tidak mensia-siakan kaedah PKP.

"Elakkan program yang menghimpunkan individu walaupun hanya melibatkan kakitangan atau ahli jawatankuasa masjid," katanya.