Selamat berpuasa pada era Covid-19

A
A
A

MASUK hari kedua puasa masih ramai yang rasa kehilangan dan belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sebenarnya.

Almaklumlah puasa kali ini memang berbeza betul dengan puasa tahun-tahun sebelumnya. Tok sendiri pun terasa amat kehilangan.

Sudah lebih 60 tahun – sejak kecil hingga kini – tidak pernah Tok berada dan menyambut Ramadan al-Mubarak dalam keadaan seperti sekarang.

Maha Suci dan Maha Besar ALLAH, Dia menurunkan Covid-19 serentak ke seluruh dunia untuk memberi pengajaran kepada manusia, semoga timbul kesedaran dan keinsafan.

Maka sebagai insan kerdil Tok menghadapi bulan al-Mubarak kali ini dalam pelbagai normal baharu...

ANTARA normal baharu itu ialah tidak ada solat sunat tarawih berjemaah di surau dan masjid di seluruh negara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.

Maka surau dan masjid yang selalunya meriah dengan laungan memuji ALLAH sepanjang malam, kini senyap sepi.

Bagi Tok, normal baharu ini memang mengharukan.

Artikel Berkaitan:

APABILA tiada solat tarawih di surau dan masjid, tiada jugalah normal-normal biasa yang lain yang memeriahkan – dan menghidupkan – rumah ibadat itu.

Tiada acara berbuka puasa @ iftar seperti tahun-tahun sebelumnya. Hilang juga acara moreh yang biasanya untuk melepas lelah setelah selesai bertarawih.

Di surau tempat Tok tinggal sekarang pun moreh menjadi satu nikmat dan santai peribadi. Minum segelas teh tarik sambil mengunyah sekeping karipap atau onde-onde.

Maka puasa kali ini pertama kali Tok tidak dapat menikmati teh tarik Haji Ismail yang terkenal di Surau Al-Mukminin Bandar Sunway.

INILAH juga pertama kali Tok berasa puasa tidak sesedap dan ‘sesyahdu’ tahun-tahun sebelumnya, gara-gara tiada bazar Ramadan.

Biasanya setiap petang Tok menghabiskan masa meninjau beberapa bazar Ramadan di Subang Jaya atau Kelana Jaya atau Kampung Lindungan.

Bukan hendak beli sangat tetapi suka melihat gelagat peniaga dan pembeli tawar-menawar dan kemaruk membeli beraneka juadah dan kuih-muih dan minuman.

Ada macam-macam lauk – ayam percik, ayam masak merah, ayam panggang berempah, ikan terubuk panggang, ikan parang asam pedas, ikan keli goreng bercili, ‘ikang singgang’ berbudu pun ada.

Apam balik, putu bambu, cucur udang, cucur badak, bingka ubi, puteri mandi, jala emas dan beraneka kuih tradisional.

Semua itu tidak ada pada Ramadan kali ini, sebab PKP tidak membenarkan sebarang bazar Ramadan.

Maka bagi yang suka berjamu-jamu sepanjang bulan puasa, PKP mengajar mereka untuk berbuka secara sederhana.

PERIHAL PKP juga telah menyekat orang berduit untuk berjamu sakan pada majlis iftar di hotel-hotel mewah dan kelab-kelab eksklusif.

Biasanya sejak awal Ramadan hotel-hotel lima bintang telah mengiklankan pakej iftar yang menawarkan juadah kelas premium.

Bayar RM100 – ada yang RM300 – per kepala dan nikmati beratus jenis makanan dan minuman lazat-lazat ala maharaja zaman silam, semuanya terhidang melimpah dan eksklusif.

Bagi Tok rasanya tidak tergamak dan membazir sangat membayar RM ratus-ratus hanya untuk melepaskan nafsu berbuka.

Tetapi bagi yang berduit, iftar di hotel lima bintang adalah lambang status, konon kurma di iftar mewah itu berbeza dengan kurma-kurma lain.

Sekarang tiada iftar di hotel mewah, tiada status, tiada darjah. Belajarlah beriftar di rumah, kurma Yusof Tayoob pun nikmat juga, insya-ALLAH.

AKHIR kalam meskipun dalam PKP dan dengan normal baharu, berpuasalah dengan penuh keinsafan dan rasa kesyukuran. Lakukan solat tarawih berjemaah dengan keluarga di rumah, berbukalah dengan sesederhana yang boleh, itulah yang sebenarnya dituntut agama.

Selamat berpuasa, maaf zahir dan batin.