Menagih cinta manusia

A
A
A

HAKIKATNYA, kehidupan di dunia ini adalah diuruskan oleh manusia dengan kehendak dan perancangan ALLAH. Sifat berkasih sayang dan bergantung harap adalah lumrah dalam kehidupan kerana kita perlukan sokongan, bimbingan serta saling bekerjasama untuk meneruskan kehidupan.

Pun begitu, kadangkala kita berlebihan bergantung kepada manusia sehingga kita lupa bahawa kita adalah milik ALLAH dan akan kembali jua kepada Nya. Malah, ada ketikanya kita sangat kecewa kerana harapan yang tinggi diletakkan kepada manusia berkecai begitu sahaja kerana tekanan persaingan hidup yang menzahirkan sifat iri hati, buruk sangka, fitnah dan dimalukan. Akhirnya kita rebah dan meruntun jiwa.

Sebetulnya, apabila kita ditimpa kesusahan barulah kita sedar bahawa cinta manusia hanya ditagih sewaktu kita senang dan bergembira. Tidak ramai yang pedulikan kita apabila ditimpa kesusahan. Secara analoginya, jika musibah yang diberikan oleh ALLAH umpama buah yang amat busuk dan begitu pahit yang perlu dimakan oleh kita, sudah tentu ramai yang tidak mahu mendekati kerana busuknya buah tersebut. Pun begitu, kita perlu telan juga kerana itu adalah ubat ketenangan dan keredaan untuk kita. Ini bermakna, menagih cinta manusia ada batasnya.

Justeru, kita tiada pilihan dan bersabar adalah ubat yang paling mujarab. Malah ALLAH telah berfirman: “...dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. Iaitu mereka yang ditimpa musibah lalu berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan ALLAH dan kepada jualah kami kembali‘.” (Surah Al-Baqarah, 2:155-156)

Berkaitan hal ini, saya tertarik dengan kupasan khutbah yang bertajuk ‘Ucap Tahniah Kepada Orang Yang Ditimpa Musibah’ oleh penceramah bebas Nouman Ali Khan.

Menurut beliau, musibah dalam bahasa Arab bermaksud sesuatu yang mengenai kita tepat pada masa dan tempat yang sepatutnya serta berkait dengan qadar dan perancangan ALLAH. Musibah juga diibaratkan sebatang anak panah yang dilepaskan dan ia kena pada kita tepat pada masanya, tepat pada tempatnya, tepat dengan cara ia mengenai kita dan kedalaman luka tersebut telah ditentukan.

Tambah beliau lagi, musibah itu perlu dilihat dalam perspektif yang lebih luas. Masalah besar yang kita hadapi hari ini ialah kita belum mengakui dan mengiktiraf bahawa kita ini milik ALLAH. Oleh itu, apabila kita diberikan musibah adalah bertujuan memasukkan semula perasaan bahawa kita semua adalah milik ALLAH dan akan kembali kepada ALLAH. Jika kita dapat menghayatinya, ia akan menjadikan sabar lebih mudah.

Adalah jelas, menagih cinta manusia adalah cukup rapuh dan tidak berkekalan. Jika hari ini kita dihormati, mungkin esoknya kita diketepikan. Jika hari ini kita dikerumuni, mungkin esoknya kita dijauhi. Justeru, hanya menagih cinta kepada ALLAH dapat menjadi kita lebih tenang dan pada masa sama kita akan dikasihi oleh manusia dengan izin dan perintah ALLAH.

Artikel Berkaitan:

Berkaitan hal itu, daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda: “Apabila ALLAH mencintai seorang hamba-Nya, Dia memanggil Jibril, ‘Sesungguhnya ALLAH mencintai si fulan, maka cintailah dia. Maka Jibril mencintai hamba itu. Lalu Jibril berseru kepada penduduk langit, ‘Sesungguhnya ALLAH mencintai si fulan, maka cintailah dia, Maka seluruh penduduk langit mencintai hamba itu, kemudian orang itu pun dapat diterima oleh penduduk bumi’.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Pada hemat saya, bagi menagih cinta kepada ALLAH, kita perlu istiqamah beramal soleh dan berbuat baik kepada semua makhluknya. Ini bermakna, kita perlu berusaha untuk mendidik hati supaya dijauhi sikap suka menyakiti hati orang lain, mengkhianati dan pelbagai lagi sifat yang tercela. Jika masih bersikap sedemikian, maknanya kita masih jauh untuk dicintai oleh ALLAH dan dikasihi oleh manusia. Semoga Ramadan ini dapat mentarbiahkan kita.

Menagih cinta manusia adalah cukup rapuh dan tidak berkekalan.”

* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis