Pihak terlibat boleh mohon kes didengar secara dalam talian

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Pihak-pihak yang terlibat boleh mengemukakan permohonan bagi membolehkan kes sivil mereka di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan untuk didengar secara dalam talian semasa tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengikut kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini, bagi Mahkamah Tinggi Malaya terdapat tambahan senarai prosiding melibatkan kes sivil yang boleh didengar secara dalam talian bermula 4 Mei.

Prosiding berkenaan adalah bicara rayuan interlokutori, permohonan interlokutori yang tidak dicabar, permohonan interlokutori yang dicabar tetapi ringkas dan pendek dan rayuan kepada hakim dalam kamar terhadap keputusan timbalan pendaftar atau penolong kanan pendaftar.

“Bagi penyampaian keputusan selepas perbicaraan, Mahkamah Tinggi Malaya akan memaklumkan kepada pihak-pihak terlibat, tarikh keputusan yang akan disampaikan secara dalam talian.

“Atas inisiatif mahkamah atau atas permohonan mana-mana pihak, semua mediasi boleh dikendalikan secara dalam talian,” menurut kenyataan itu.

Selaras dengan pelanjutan tempoh PKP dari 29 April sehingga 12 Mei 2020, mahkamah juga masih ditutup dan perbicaraan kes-kes mahkamah juga ditangguhkan.

Bagaimanapun, permohonan untuk tahanan reman dan pendaftaran kes baharu dan urusan jamin berjalan seperti biasa.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh PKP dilanjutkan sehingga 12 Mei, bagi membendung penularan wabak Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: