Covid-19: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

No Image Caption
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah hari ini apabila permintaan terhadap dolar AS meningkat berikutan kegagalan ujian ubat anti virus tahap tinggi untuk merawat koronavirus (Covid-19), kata penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan turun 50 mata asas kepada 4.3600/3680 berbanding dolar AS daripada paras 4.3550/3650 pada Khamis.

Menurut beberapa laporan, keputusan mengecewakan daripada ujian itu telah mencetuskan permintaan terhadap dolar AS susulan status mata wang selamatnya kerana ubat itu sebelum ini dianggap sebagai satu daripada prospek terbaik bagi merawat virus Covid-19.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata, ulasan negatif terhadap Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini juga menyokong kekukuhan dolar AS.

Menurut laporan berita, para pemimpin EU gagal mencapai kata sepakat bagi pakej pemulihan ekonomi yang lebih besar dan segera tetapi sebaliknya hanya meluluskan pelan sebelum ini bagi pakej terhad dan akan mengkaji dana yang lebih besar pada Jun.

Sementara itu, para penutup, unit tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0594/0657 daripada 3.0559/0640 pada Khamis dan turun berbanding yen kepada 4.0494/0576 daripada 4.0466/0571.

Bagaimanapun berbanding pound Britain, ringgit meningkat kepada 5.3741/3853 daripada 5.3784/3921 namun susut berbanding euro kepada 4.6927/7030 daripada 4.6912/7037.-Bernama

Artikel Berkaitan: