Paip kumbahan pecah ancam kesihatan penduduk di Lima

Pekerja pembersihan menyedut air kumbahan di daerah San Juan de Lurigancho semalam. - Foto AP
Pekerja pembersihan menyedut air kumbahan di daerah San Juan de Lurigancho semalam. - Foto AP
A
A
A

LIMA - PERU. Ribuan pekerja pembersihan, anggota polis dan tentera Peru bertungkus lumus membersihkan 'banjir' susulan paip kumbahan pecah yang menyebabkan kerajaan terpaksa mengisytiharkan perintah kecemasan kesihatan di salah satu kawasan paling ramai penduduk di Lima.

Presiden Martin Vizcarra berkata, sebuah paip kumbahan gergasi sedalam sembilan meter yang mengumpul 80 peratus kumbahan di daerah San Juan de Lurigancho dikatakan tersumbat lalu pecah dan 'mula tenggelam', menyebabkan air kotor melimpah ke kawasan tanah rendah daerah terbabit yang dihuni lebih sejuta penduduk.

Lebih 100 anggota polis terpaksa menunggang kuda bagi mengharungi 'banjir' tersebut yang bermula Ahad lalu, manakala puluhan mesin penyedut digunakan untuk menyedut air kumbahan yang mengeluarkan bau busuk yang meloyakan.

"Kami bimbang akan bahaya pencemaran," kata seorang penduduk, Oswaldo Vasquez sambil menambah jiran-jiran turut mengadu air kotor keluar dari paip air dan tandas.

Pihak berkuasa masih belum dapat mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab terhadap insiden, namun Vizcarra berkata, pemaju projek kerja awam bertanggungjawab atas apa-apa kerosakan bagi tempoh tujuh tahun akan datang.

Terdahulu, paip kumbahan tersebut dipindahkan kira-kira enam tahun lalu oleh Odebrecht, sebuah firma pembinaan besar dari Brazil yang terlibat dalam skandal rasuah membabitkan golongan elit seluruh Amerika Latin, termasuk Peru.- AP

Artikel Berkaitan: