Covid-19: Malaysia kini berada pada fasa pemulihan

Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia kini berada pada fasa pemulihan pandemik Covid-19 selepas lebih daripada separuh pesakit wabak itu pulih sepenuhnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 64.4 peratus pesakit yang pulih dan dibenarkan keluar wad daripada keseluruhan kes iaitu 5,691 kes positif.

"Kita sudah melepasi fasa kemuncak jangkitan dan berharap dapat mengekalkan momentum serta mengawalnya dari semasa ke semasa," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Terdahulu, KKM merekodkan 88 kes baharu dan 121 kes telah pulih.

Seramai 1,932 kes dirawat di hospital dan daripada jumlah itu, 41 kes dirawat di unit rawatan rapi dan 18 memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kadar penularan jangkitan mencapai kurang daripada satu.

"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nisbah jangkitan adalah 3.55 iaitu menjangkiti lebih tiga individu lain namun sejak 14 April menurun menjadi kurang dari satu," katanya.

Menurutnya, paling penting rakyat kekal patuh untuk terus berada di rumah bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini kes baharu itu telah berkurangan dan menjadi dua digit tetapi kami berharap dalam seminggu atau dua minggu kami akan dapat kurangkan lebih jauh sekaligus dapat mengawal jangkitan dalam komuniti," katanya.