Zakat fitrah Perlis kekal RM7

Syed Faizuddin (kiri) bersama Mohd Nazim ketika pengumuman Kadar Zakat Fitrah 2020 di Perlis,semalam.
Syed Faizuddin (kiri) bersama Mohd Nazim ketika pengumuman Kadar Zakat Fitrah 2020 di Perlis,semalam.
A
A
A

ARAU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menetapkan kadar zakat fitrah di negeri itu tahun ini adalah RM7 seorang atau segantang beras nabawi bersamaan 2.6 kilogram.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, penetapan kadar zakat itu mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan ia merupakan kadar yang sama semenjak tahun 2016 dengan anggaran penyumbang seramai 175,000 orang di negeri ini.

Katanya, MAIPs juga sentiasa prihatin dengan situasi semasa ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang mengakibatkan ada pihak terkesan sehingga tiada sumber pendapatan.

"Sehubungan itu, mereka yang terkesan dan tidak mampu untuk menunaikan zakat fitrah boleh menunaikannya mengikut kadar kemampuan diri dan keluarga.

"Kelonggaran itu diberikan khusus kepada mereka yang tidak mampu untuk menyediakan juadah atau makanan pada pagi 1 Syawal atau malam sebelum sambutan Aidilfitri,"katanya, selepas pengisytiharan kadar zakat fitrah oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Yang Dipertua MAIPs, di Galeri Istana Arau, di sini semalam.

Tambahnya, MAIPs menggalakkan orang ramai untuk menunaikan zakat harta dan zakat fitrah secara dalam talian menggunakan aplikasi SnapNPay dengan mengimbas Kod Tindak Balas Segera (Kod QR) yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple App Store.

"Pembayaran zakat juga boleh dilakukan menerusi pindahan wang ke akaun MAIPs iaitu, bayaran zakat (akaun Bank Islam 09010010055290), bayaran wakaf tunai (akaun Bank Islam-09010010063983), bayaran fidyah (akaun Bank Islam 0901001002947), bayaran t-BAZ (wang tidak patuh syariah (akaun Maybank 559021602422) dan kaedah lain yang boleh dirujuk di laman sesawang rasmi MAIPs,"katanya.

Mohd Nazim berkata, walaupun pembayaran zakat boleh dilakukan secara dalam talian, MAIPs masih lagi meneruskan kutipan zakat melalui amil-amil di 102 kariah di seluruh Perlis yang akan dibuat di anjung masjid dengan mengambil kira penjarakkan sosial dengan jarak dua meter, memakai topeng muka serta kerap mencuci tangan.

Artikel Berkaitan: