Mangsa strok di London terima rawatan rapi di SJMC

Nur Amalina (kiri) ketika sidang akhbar berhubung perkembangan ayahnya di SJMC, hari ini. Turut kelihatan, Dr R Muruga Kumar (kanan)
Nur Amalina (kiri) ketika sidang akhbar berhubung perkembangan ayahnya di SJMC, hari ini. Turut kelihatan, Dr R Muruga Kumar (kanan)
A
A
A

SUBANG JAYA - Rakyat Malaysia yang diserang strok di London, Sahrom Ahmad, 59, dilaporkan stabil dan kini sedang menerima rawatan khusus untuk buah pinggangnya.

Terdahulu, Sahrom dibawa pulang ke Malaysia petang semalam dan kini dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Pakar Bedah Otak, Dr R Muruga Kumar berkata, sebaik tiba di SJMC semalam, pihaknya terus melakukan imbasan termasuk mengambil sampel darah Sahrom untuk rawatan susulan.

"Kita akan pantau dan fokuskan kepada rawatan buah pinggang Sahrom yang didapati gagal berfungsi dengan baik ketika ini.

"Selepas rawatan itu selesai dan pastikan tiada sebarang jangkitan kuman, baru kita tumpukan kepada proses pemulihan strok yang sekurang-kurangnya mengambil masa tiga ke empat bulan, "katanya pada sidang akhbar di lobi Mediplex SJMC, hari ini.

Sementara itu, anak Sahrom, Nur Amalina ketika ditemui memberitahu beliau lega bapanya selamat dibawa pulang untuk menjalani rawatan di sini.

"Terima kasih kepada semua pihak termasuk rakyat Malaysia di dalam dan luar negara, pihak SJMC, kedutaan Malaysia termasuk TNB yang banyak membantu dari segi sumbangan dan urusan membawa pulang ayah.

"Alhamdulillah juga, rawatan ayah di SJMC ini juga akan dibiayai sepenuhnya oleh TNB Healthcare, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Amalina turut menzahirkan terima kasih kepada pihak hospital di London yang banyak membantu malah memberi ruang untuk ayahnya menerima rawatan terlebih dahulu.

"Saya sangat bersyukur kerana mereka sangat baik hati untuk membantu dulu dan memberi kelonggaran untuk menyelesaikan pembayaran secara berperingkat, "katanya.

Pada 12 Disember tahun lalu, Sahrom yang juga pesara TNB diserang strok sebaik tiba di United Kingdom (UK) untuk menghadiri majlis graduasi Nur Amalina yang menerima Ijazah Sarjana (Sains) Pengurusan Antarabangsa dari Universiti Loughborough.

Susulan itu, Sahrom terpaksa dibedah dan menerima rawatan di Charing Cross Hospital.