KKM gariskan tiga amalan perlu dipatuhi majikan, pekerja

Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggariskan tiga amalan yang perlu dipatuhi majikan dan pekerja dalam sektor yang diberikan kelonggaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga perkara itu ialah mengelakkan berada di kawasan yang sesak, mengelakkan berada di kawasan yang tertutup secara beramai-ramai pada masa yang sama, seperti di ruang makan (pantry) dan kekalkan jarak satu meter ketika cakap bersemuka dengan orang lain.

"Seperti yang diketahui umum, fasa keempat ada beberapa kelonggaran dalam kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor ekonomi.

"Sehubungan itu, penting bagi majikan dan pekerja sektor berkenaan supaya mengikut amalan yang betul di

tempat kerja masing-masing," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, KKM menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melanjutkan tempoh PKP kepada fasa keempat.

"Pelanjutan tempoh dua minggu ini akan terus memberi ruang kepada kerajaan memerangi penularan wabak Covid-19 secara habis-habisan sebelum dapat dinilai semula tahap keberkesanan serta keadaan semasa jangkitan wabak ini.

"KKM juga dapat meneruskan tindakan sedia ada serta menggiatkan usaha mengurangkan kes positif Covid-19 di Malaysia melalui pendekatan tertumpu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tindakan tersebut dapat dijalankan dengan lebih berkesan dengan adanya pelaksanaan PKP dan juga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).