Mahasiswa desak kembalikan faedah bayaran balik PTPTN

Muhamad Haziq (kiri) menyerahkan memorandum bantahan kepada Wan Ahmad.
Muhamad Haziq (kiri) menyerahkan memorandum bantahan kepada Wan Ahmad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahasiswa Nasional hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Menara PTPTN di sini.

Memorandum berkenaan diserahkan oleh Timbalan Mahasiswa Nasional, Muhamad Haziq Shafi'ee kepada Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff.

Muhamad Haziq berkata, memorandum itu adalah untuk mendesak PTPTN mengembalikan semula faedah diskaun terhadap langkah-langkah yang ditawarkan kepada mahasiswa sebelum ini.

"Khususnya dalam faedah untuk melunaskan hutang pinjaman pengajian tinggi seperti auto debit yang menawarkan diskaun 10 peratus dan pembayaran keseluruhan sekaligus yang menawarkan diskaun 20 peratus.

"Kami turut meminta agar pengecualian bayaran balik untuk penerima ijazah kelas pertama dikekalkan," katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum hari ini.

Muhamad Haziq berkata, Mahasiswa Nasional berasa sangat kecewa apabila inisiatif yang dipergiat selama ini dihentikan tanpa sebab yang kukuh.

"Kami percaya inisiatif sedemikian bukan sahaja akan dapat meringankan beban kami pada masa selepas bergraduasi malah memberi motivasi kepada kami untuk berusaha keras demi kecemerlangan diri dan negara

"PTPTN seharusnya membuat sesuatu keputusan dengan mengambil kira kepentingan kami sebagai mahasiswa yang turut terhimpit dengan kesempitan keadaan ekonomi yang kian meruncing.

Artikel Berkaitan:

"Sesungguhnya kami masih lagi menanti perlaksanaan sistem pendidikan percuma daripada Kerajaan Persekutuan kami meletakkan harapan yang tinggi agar mekanisme pembayaran balik dikembalikan seperti dulu," katanya.

Muhamad Haziq memberitahu, walau bagaimanapun pihaknya menyambut baik pendekatan PTPTN yang mempelawa badan bukan kerajaan itu untuk menyertai rundingan meja bulat mereka yang dijangka berlangsung pada Februari depan.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan PTPTN, Abdul Ghaffar Yusof berkata, PTPTN menerima baik mengenai apa yang dibangkitkan dalam memorandum berkenaan untuk kesejahteraan mahasiswa.

"Kita faham masalah yang dihadapi mereka dan PTPTN dari masa ke semasa giat melakukan rundingan bersama kumpulan sasaran termasuk mahasiswa dan NGO mahasiswa serta majikan untuk mendapatkan satu pendekatan terbaik dalam PTPTN melaksanakan dasar, ini termasuklah dalam isu Skim Potongan Gaji berjadual.

"Kita akan panggil kumpulan sasaran untuk membincangkan perkara ini dan mencari jalan penyelesaian terbaik, demi kelangsungan bakal peminjam dan dalam masa yang sama kita tidak mahu menzalimi peminjam.

"Rundingan bersama kumpulan sasaran ini akan berterusan sehingga Jun ini bagi mendapatkan jalan penyelesaian yang terbaik," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghaffar menegaskan bahawa faedah pengecualian bayaran balik untuk penerima ijazah kelas pertama bagi kumpulan B40 dan M40 dikekalkan.

"Sementara faedah untuk bayaran secara auto debit dan bayaran penuh memang telah berakhir ada 31 Disember lalu, walau bagaimanapun melalui siri rundingan yang sedang PTPTN laksanakan sekarang ini dan sekiranya kerajaan merasakan ia perlu diadakan semula kerajaan akan membuat keputusan," katanya lagi.

Selain Mahasiswa Nasional, penyerahan memorandum itu turut dihadiri oleh beberapa lagi wakil NGO mahasiswa tempatan.