Tak pandai teknologi, peniaga makanan 'gantung' periuk

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang peniaga makanan terpaksa 'gantung' periuk apabila dia tidak mempunyai kemahiran menggunakan laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp bagi mempromosikan makanan dan kuih-muih yang diusahakannya sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Lebih memeritkan lagi Ramadan yang bermula hari ini dan sering menjadi 'lubuk' rezeki buat Faridah Said, 61, dan keluarga terpaksa dilupakan sementara apabila dia tidak dapat keluar berniaga.

Faridah berkata, disebabkan tidak tahu menggunakan Facebook dan WhatsApp, dia mengambil keputusan untuk menutup sementara gerai jualannya yang terletak di Kampung Guntong, Wakaf Lanas di sini.

"Mahu atau tidak itu pilihan yang ada. Jadi saya reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh ALLAH ketika ini," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian bantuan Ramadan oleh Kelab Volunteer i-Care (Vi-C) dengan kerjasama Portal Kita Fund.Com dan Pasaraya Econsave Pasir Puteh di sini hari ini.

Faridah (tiga dari kanan) bersyukur menerima sumbangan berupa barangan dapur dari Vi-C, Portal Kita Fund.Com dan Pasaraya Econsave disampaikan oleh Saripah (tiga dari kiri) sempena Ramadan ini.
Faridah (tiga dari kanan) bersyukur menerima sumbangan berupa barangan dapur dari Vi-C, Portal Kita Fund.Com dan Pasaraya Econsave disampaikan oleh Saripah (tiga dari kiri) sempena Ramadan ini.

Menurutnya, sebelum ini dia berniaga aneka jenis makanan untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas suaminya, Yusoff Awang Chik,66, diserang penyakit kanser usus sejak tiga tahun lalu.

Katanya, sejak itu dia terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi memastikan dapur rumahnya terus berasap.

"Buat masa ini saya dan keluarga bergantung harap sepenuhnya kepada wang simpanan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, saya dan suami serta empat anak sedikit lega apabila kerajaan mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berjumlah RM1,600 bagi membantu golongan yang terjejas sepanjang perlaksanaan PKP," katanya.

Faridah berkata, dengan adanya bantuan itu serta sumbangan dari Vi-C dapat meringankan beban keluarganya sepanjang tempoh PKP.

Sementara itu, Bendari Vi-C, Saripah Ismail berkata, sepanjang PKP sebanyak RM70,000 hasil sumbangan orang ramai dibelanjakan bagi membantu seramai 1,400 golongan yang terjejas teruk.

Katanya, bantuan itu merangkumi beberapa fasa iaitu permulaan PKP, Ramadan dan Syawal.

"Kita akan terus melaksanakan amanah yang diberikan oleh para penyumbang terutamanya daripada Portal Kita Fund.Com untuk membantu meringankan beban golongan terjejas teruk sepanjang perlaksanaan PKP ini," katanya.