PPK Kuantan jual hasil tanaman dalam talian

Ching Fung (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan keperluan harian kepada pihak PPK Kuantan.
Ching Fung (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan keperluan harian kepada pihak PPK Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuantan menggunakan kaedah pemasaran secara dalam talian dan aplikasi WhatsApp pada bulan Ramadan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusinya, Abd Razak Awang berkata, pembeli boleh membuat pesanan dan pembelian akan dihantar secara terus kepada orang ramai.

"Inisiatif itu diambil ahli PPK sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu dan diteruskan sepanjang bulan Ramadan.

"Setakat ini, saya belum mendengar rungutan daripada ahli yang gagal memasarkan produk hasil tanaman mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan bantuan barangan keperluan kepada ahli PPK Kuantan di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Persatuan Ekonomi Maritim Malaysia, Datuk Seri Chong Chin Fung dan Pengurusan Besar Pertubuhan Peladang Kuantan, Nur Fatihatul Husna Mohd Rosli.

Ditanya mengenai permintaan terhadap pengeluaran hasil tanaman seperti tembikai, jagung dan sayuran-sayuran, Abd Razak berkata, ia merupakan antara hasil tanaman yang mendapat permintaan tinggi ketika ini.

Jelasnya, secara kasar, hasil tanaman ahli PPK Kuantan bagi pengeluaran tembikai sekitar dua tan sehari.

Artikel Berkaitan:

"Tanaman jagung pula dianggarkan (3,000 tongkol), betik (1,000 biji) dan sayur-sayuran (200 kilogram). Ia merupakan antara hasil tanaman yang mendapat permintaan tinggi dan harga ketika ini agak stabil.

"Pengguna perlu menanggung kos penghantaran yang dilakukan oleh ahli PPK Kuantan," katanya.

Sementara itu, Ching Fung berkata, seramai 300 ahli PPK Kuantan menerima bantuan barangan keperluan yang disumbangkan oleh persatuannya.

Beliau berkata, penyerahan bantuan terdiri daripada barangan seperti gula, tepung, minyak, susu, ikan beku, penutup mulut dan hidung serta pembasmi kuman itu hasil inisiatif persatuannya dengan sokongan kedutaan China di Malaysia.